Saturday, December 31, 2011

Akur keputusan FAM


KUALA LUMPUR - Percaya sepenuhnya dengan kata-kata ejen yang mendakwa bahawa pemain import yang mereka perkenalkan menepati syarat, diakui punca badan induk bola sepak negara FAM menolak pendaftaran pemain asing yang dialami beberapa pasukan dalam Liga Malaysia.

Akur dengan ketegasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin, yang menolak pendaftaran pemain import kerana gagal memenuhi syarat, jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui mereka juga melakukan kesilapan.

Menurutnya, dia dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak menyedari kesilapan tersebut semasa pemain import Marquen Gonçalves Ferreira dan ejennya tiba.

"Biasalah, seperti orang yang datang menjual barang... mestilah bercakap semuanya positif barang yang ditawarkan.

"Ejen yang memperkenalkan pemain import pastinya mendakwa pemain yang mereka bawa banyak pengalaman beraksi pada peringkat tinggi.

"Namun, apabila mendaftar nama mereka, barulah kami sedar rupa-rupanya dia tidak melepasi syarat kerana pasukan terakhir yang diwakilinya bukanlah dari kelab divisyen dua, " katanya.

Jelas Mohd. Azraai, dia tidak terkejut dengan pendirian FAM yang kekal dengan keputusan pendaftaran pemain import yang diluluskan Jawatankuasa Pemeriksaan, Pe mantauan dan Ketelusan pada 22 Disember lalu.

Menurutnya, dia tidak khuatir untuk memberikan saingan kepada kebanyakan pasukan yang diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import.

"Saya tiada masalah ekoran keputusan FAM semalam (kelmarin) kerana dalam bola sepak, kekuatan pasukan terletak kepada 11 pemain dan bukannya pada seorang pemain.

"Saya memang sudah duga perkara ini kerana jelas sekali dalam kriteria yang diberikan oleh FAM, pemain import yang diperkenalkan kami tidak boleh beraksi dalam Liga Malaysia

"Tanpa import pada bahagian pertahanan, saya tidak kisah kerana masih mempunyai pemain tempatan lain seperti Shukor Adan dan Mohd. Alif Samsudin, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Tujuh pasukan gagal dalam rayuan untuk mendaftarkan pemain import sebelum ini dan terpaksa menunggu sehingga 2 April depan bagi mencukupkan kuota dua pemain import yang disyaratkan.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, tidak gusar walaupun tanpa kelibat Tércio Nunes Machado yang pernah bermain bersama KL Plus pada 2008 kerana mempunyai ramai pemain berkaliber pada barisan tengah.

"Ia merupakan satu hikmah kerana pemain tempatan mempunyai lebih berpeluang untuk beraksi,".

"Fokus saya ialah untuk mencukupkan kuota pendaftaran pemain import bagi menghadapi kelayakan Piala AFC.

"Saya sedang menguji penyerang dari Liberia (Francis Doe) selepas dia beraksi baik ketika berdepan Perlis baru-baru ini dalam perlawanan persahabatan, " katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...