KUALA LUMPUR – Kontraknya bersama Pelita Jaya bakal berakhir pada 31 Januari depan namun sehingga kini, penyerang kebangsaan negara, Safee Sali, masih belum dapat memutuskan secara pasti ke mana hala tuju selepas ini.
Ditambah kemelut yang sedang melanda Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengenai status sebenar Liga Super Indonesia (ISL), Safee dilihat semakin sukar membuat keputusan terbaik sama ada mahu kekal di Pelita Jaya atau memilih jalan sebaliknya.
“Buat masa ini saya masih hormat baki kontrak dengan Pelita Jaya dan mengenai isu status pengharaman ISL, saya tidak mahu terlalu fikirkan sangat.
“Sebagai pemain, memang tidak dinafikan saya agak risau juga dengan keadaan terkini di sana tetapi tugas saya adalah untuk bermain bola sepak.
“Biarlah kemelut dalaman ini diselesaikan sendiri oleh PSSI, ini bagi saya adalah masalah kepimpinan, ” katanya pada sidang media khas mengenai isu pengharaman ISL di The Curve, semalam.
Begitupun, Safee menyatakan dia masih menyayangi Pelita Jaya dan bersedia menyambung kontrak jika status ISL dapat diselesaikan.
“Memandangkan sambutan penyokong agak meriah dan ramai menghargai saya, itu mungkin menjadi punca utama buat saya jika mahu menyambung kontrak di Pelita Jaya.
“Ekoran tawaran-tawaran lain masih belum datang, saya ada kemungkinan akan meneruskan kerjaya dengan Pelita Jaya
“Skil individu dan keyakinan saya juga banyak meningkat semenjak bermain di Pelita dan ia secara tidak langsung banyak membantu aksi saya ketika mewakili skuad kebangsaan, ” katanya.
Difahamkan, Safee ada mendapat tawaran tidak rasmi dari beberapa pasukan dari Belgium, Jerman, Thailand, India dan Vietnam selain turut mendapat tawaran berlatih dengan kelab milik Tan Sri Tony Fernandes, Queens Park Rangers (QPR).
Pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim mengakui pemain berusia 27 tahun itu masih boleh beraksi selama lima tahun lagi di luar negara.
“Safee boleh bermain lima tahun lagi dan kalau boleh biarlah dia bermain di luar negara namun jika mendapat tawaran yang baik dari pasukan Liga Malaysia, ada kemungkinan dia boleh kembali, ” katanya.
No comments:
Post a Comment