KUALA LUMPUR - Permulaan musim sulung bekas jurulatih Selangor, K. Devan
di Johor FC bagaikan bermula dengan langkah kiri apabila bakal memulakan cabaran Liga Super dalam masa dua minggu lagi tanpa seorang pun pemain import.
Ekoran pengumuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini yang tidak meluluskan pendaftaran kedua-dua pemain importnya, Tito Fernando Da Silva Pinto dan Tiago Lima Real, Devan mengakui persiapan bagi memantapkan skuad Lebah agak terjejas.
Tidak menafikan pasukannya bakal menerima kesan besar akibat keputusan berkenaan, Devan berkata, dia tiada pilihan lain selain mengharapkan kudrat pemain tempatan seratus peratus dan kembali merombak taktikal permainan.
"Tanpa pemain import, saya memang menghadapi banyak kesukaran sekurang-kurangnya sehingga bulan April nanti apabila pintu pendaftaran import kali kedua dibuka kerana pasukan saya jelas akan mengalami banyak kekurangan berbanding pasukan yang ada tenaga import.
"Konsentrasi pemain lain sedikit terganggu apabila kedua-dua pemain import yang telah berlatih bersama semenjak 28 November lalu tiba-tiba tidak dapat bersama Johor FC.
"Selain itu, saya juga terpaksa menguji beberapa taktikal baru selepas ketiadaan mereka berdua (Tito dan Tiago), diharapkan saya sempat melakukan perubahan tersebut sebelum perlawanan pertama Liga Super, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Johor FC menjadi satu-satunya pasukan yang gagal mendaftarkan kedua-dua pemain import apabila gagal mengikuti syarat yang ditetapkan oleh FAM.
Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh FAM, setiap pemain import terakhir dari kelab Amerika Selatan, Afrika dan Eropah, mestilah dari Divisyen Satu atau Dua sementara bagi Asia, hanya dari Divisyen Satu.
Tito yang bermain pada posisi penyerang beraksi bersama Vila Aurora, sebuah kelab yang sekadar bermain dalam Divisyen Empat Brazil manakala Tiago, pemain tengah, juga dari Divisyen Empat Brazil bermain dengan kelab Oeste.
Walaupun yakin dengan kehadiran kira-kira 50 peratus muka baru dalam pasukan mampu menyuntik semangat, Devan tidak berani meletak sasaran terlalu tinggi dalam saingan Liga Super selepas ketiadaan pemain import.
"Jika sebelum ini saya meletakkan sasaran antara tiga pasukan teratas Liga Super, saya kini hanya berani mahu melihat kita mampu memperbaiki pencapaian musim lepas.
"Walaupun begitu, saya harap pemain-pemain berpengalaman dalam skuad ini mampu membantu biarpun mereka baru bersama kurang sebulan, " katanya.
Antara beberapa pemain pengalaman dalam skuad Lebah adalah dua bekas pemain Kedah, Shafizan Hashim dan Ahmad Fauzi Shaari, Mohd Haris Safwan (T-Team), Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain dan Azi Shahril Azmi, kedua-duanya dari Felda United.
No comments:
Post a Comment