Wednesday, December 21, 2011

KL terlepas sentuhan Hazwan

BH Online
AHMAD Hazwan (kanan)  meledak empat gol sepanjang tiga aksi persahabatan di Sydney, Australia.
AHMAD Hazwan (kanan) meledak empat gol sepanjang tiga aksi persahabatan di Sydney, Australia.

Menyertai skuad Harimau Muda A bersaing dalam Liga Singapura 2012 

RELA atau tidak, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) terpaksa melepaskan penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri menyarung jersi skuad Harimau Muda A pada saingan Liga Singapura 2012 bermula Februari depan.



Ahmad Hazwan, 20, kini menjadi ‘peledak harapan’ skuad B-23 negara itu selepas menjaringkan empat gol sepanjang tiga aksi persahabatan di Sydney, Australia – dua ketika menewaskan Sydney FC 3-0 dan dua ketika membelasah Central Coast Mariners 4-1, Isnin lalu.
Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya tiada pilihan lain apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menggunakan sepenuhnya khidmat Ahmad Hazwan secara ‘pinjaman’ sepanjang saingan Liga Singapura 2012. 

“Hazwan masih memiliki kontrak bersama Kuala Lumpur sehingga hujung musim 2012. Tapi kami tidak boleh menghalang kerana dia perlu berkhidmat untuk pasukan negara. Biarpun terpaksa berkorban, kami tetap tumpang gembira dengan pemilihannya. 

“Apa pun, kami tetap mendaftar nama Hazwan dalam senarai pemain skuad Piala Presiden dan dia layak beraksi untuk Kuala Lumpur pada Piala Malaysia, selepas saingan Liga Singapura berakhir,” kata Nokman ketika dihubungi, semalam. 

Jelas Nokman, pemain kelahiran Labuan itu mula dikesan bakatnya oleh KLFA ketika dia beraksi untuk skuad Wilayah Persekutuan pada Sukma 2008 di Terengganu dan diserapkan ke skuad Piala Presiden, setahun kemudian. 

Ditanya adakah Ahmad Hazwan boleh disambar pasukan negeri lain selepas khidmatnya bersama Harimau Muda A berakhir, Nokman berkata: “Dia mesti kembali mewakili Kuala Lumpur. Tapi jika pasukan lain mahu pancing, kenalah bayar wang pampasan.” 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...