Thursday, December 29, 2011

Ollerenshaw ‘buka laluan’


Harian Metro

BEKAS pemain import yang pernah mencipta nama bersama Sabah, Scott Ollerenshaw bersedia membantu mana-mana pemain Malaysia yang ingin mencuba nasib bersama kelab Liga Australia (Liga A).


Katanya, pemain tempatan perlu berani melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi dan bukan hanya menunggu tawaran datang terhidang.

“Saya bukanlah ejen pemain tapi saya bersedia membantu pemain Malaysia yang mempunyai kesungguhan mencari tempat bermain di Liga A. Saya mempunyai hubungan baik dengan pihak pengurusan beberapa kelab di Australia, jadi bukan menjadi masalah untuk saya membantu pemain Malaysia menjalani ujian percubaan.




“Saya cuma boleh membantu bukannya menjamin tempat mereka bersama kelab, selebihnya terpulang kepada pemain sendiri membuktikan kemampuan mereka,” katanya yang ditemui Arena Metro ketika siri jelajah skuad Olimpik negara di Sydney, baru-baru ini.

“Ketika ini saya lihat, pemain Malaysia hanya cenderung menjalani ujian percubaan dengan kelab mempunyai kepentingan rakyat Malaysia, kenapa tidak berusaha untuk pergi ke kelab lain seperti yang dilakukan pemain import yang datang bermain di Malaysia.” Ketika beraksi dalam kancah Liga Malaysia, kelibat Ollerenshaw, 43, cukup digeruni di depan gawang sehingga berjaya meraih trofi kasut emas sebanyak dua kali sewaktu bersama Sabah pada 1994-1998.


Beliau juga pernah bersama Negeri Sembilan sebelum kembali ke negara kelahirannya Australia dan pernah mewakili skuad Socceroos sebanyak 18 kali.




Ollerenshaw yang kini menetap di Kota Kinabalu, Sabah mengendalikan perniagaan sukan pelancongan yang bertanggung jawab menguruskan perlawanan persahabatan skuad Olimpik kendalian Ong Kim Swee dengan kelab handalan Liga A, Central Coast Mariners dan Sydney FC.

Katanya, Liga A adalah liga yang kompetitif namun itu tidak bermakna pemain Malaysia tidak berkemampuan.




“Liga A memang mencabar khususnya dari aspek fizikal dan teknikal tapi pemain Malaysia sudah mempamerkan peningkatan selepas menjuarai Piala Suzuki AFF dan Sukan Sea. Mungkin FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) boleh mengenal pasti pemain terbaik dan saya bersedia membantu,” katanya yang bersara ketika berusia 31 tahun akibat kecederaan.

Sebelum ini, dua pemain Harimau Malaya, Mohd Safee Sali dan Safiq Rahim sudah menjalani ujian bersama kelab Inggeris dalam Liga Kejuaraan, Cardiff City. Penyerang sensasi negara, Safee yang kini beraksi dengan kelab Indonesia, Pelita Jaya FC tidak menyembunyikan hasratnya untuk mencari peluang beraksi di Liga A.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...