Wednesday, December 21, 2011

Perlis import awang Sierra Leone


AZAHAR (kiri) menerima cek bernilai RM150,000 daripada Abdul Jamil di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar kelmarin.

PERLIS bakal diperkuatkan dengan sentuhan dua pemain import dari negara Afrika, Sierra Leone bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) pada tahun depan.
Pengurus pasukan, Azahar Ahmad berkata, barisan pemain skuad Liga Perdana itu telah bersiap sedia dengan pemain import terbabit iaitu Lamin Conteh, 33, dan seorang pemain muda, Henry Lewis, 19.
Katanya, bekas jurulatih Piala Presiden Kedah, Abdullah Hassan telah dilantik bagi menjadi jurulatih untuk membimbing para pemain skuad Singa Utara itu.
“Lamin Conteh akan memberi kelebihan kepada Perlis berdasarkan pengalamannya sebelum ini beraksi dengan skuad Perlis pada tahun 1996 hingga 1998.
“Dia dijangka akan mula menjalani latihan bersama para pemain Perlis pada 25 Disember ini.
“Lewis pula, pemain muda yang bertenaga dijangka bersama Perlis pada Mac depan selepas mendapat pelepasan daripada kelab lamanya,” katanya.
Azhar berkata demikian selepas majlis penyerahan cek bernilai RM150,000 sumbangan kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis, Abdul Jamil Saad di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Kangar petang kelmarin.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Sumbangan tersebut bagi membantu meringankan bebanan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melunaskan bayaran tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) para pemain Perlis dan cukai pendapatan persatuan yang tertunggak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...