Tuesday, December 13, 2011

'City' Malaysia sasar kejuaraan liga



Ahmad Zahid Hamidi (depan, lima dari kanan) bersama barisan pemain bola sepak ATM musim 2012 pada majlis memperkenalkan pasukan dan laman web mereka di Hotel Marriott Putrajaya semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI

PUTRAJAYA - Berjaya mendapatkan pemain bertaraf bintang dan jurulatih berpengalaman membuktikan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serius untuk menghadapi saingan Liga Perdana musim 2012.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi mengakui, selepas gagal dalam dua percubaan untuk menjuarai Liga Perdana pada 2010 dan 2011, pasukan yang mendapat jolokan 'Manchester City Malaysia' itu menyasarkan kejuaraan musim depan.


"Percubaan kali pertama dan kedua kita gagal tetapi kali ketiga saya rasa kita tidak akan gagal lagi.


"Kita tidak paksa atau memberi tekanan, namun jauh di sudut hati semua sudah tentu mahu melihat pasukan ini muncul juara tahun depan," katanya pada majlis memperkenalkan pasukan di sini, semalam.


ATM digelar 'Manchester City' kerana berjaya memancing nama-nama besar dalam bola sepak tempatan seperti pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Hairuddin Omar, Irwan Fadzli Idrus, Farizal Harun (Negeri Sembilan), Azmi Muslim (Kedah) dan Rezal Zambery Yahya (Johor FC).


"Saya yakin barisan pemain yang baru ini tidak akan mengecewakan pengurusan ATM kali ini, termasuk dua pemain import Marlon Alex James (St. Vincent) dan Bruno Sebastian Martelotto (Argentina).


"Apa yang penting gabungan jurulatih dan pemain dilihat mempunyai keserasian.


"Esok (hari ini) mereka akan berangkat ke Myanmar untuk beraksi adlam tiga perlawanan persahabatan di sana," katanya.


ATM juga mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan dan Kelantan, B. Sathiananthan untuk membawa misi melayakkan diri ke Liga Super tahun depan.


Ditanya sama ada pasukan yang telah berbelanja besar ini bakal menerima imbuhan lumayan jika dapat mencapai sasaran juara Liga Perdana dan beraksi cemerlang dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia, Zahid berkata, perkara tersebut sudah ada dalam mindanya.


Selain menampilkan pemain bintang, ATM juga mengikat lima muka baru yang berpotensi dalam saingan liga tempatan iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana 2011, Fitri Omar dari pasukan MP Muar dan dua pemain skuad Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzen K. Reuben (UKM) serta Amiridzwan Taj Tajudin (UiTM).


Selepas pulang dari Mynmar skuad ATM akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan terakhir, termasuk menentang kelab dari Singapura, Lions XII.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...