SHAH ALAM - Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah bakal memecah satu tradisinya yang sekian lama apabila tidak lagi dijadikan perlawanan sulung yang menghasilkan mata Liga Super musim 2012 bagi kedua-dua pasukan terpilih yang merebutnya.
Justeru Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin berkata, pertembungan juara Liga Super 2011, Kelantan dengan juara Piala Malaysia musim sama, Negeri Sembilan pada 7 Januari ini hanyalah untuk merebut trofi yang diperkenalkan pada 1985 itu.
"Perlawanan Sumbangsih ini akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Kami mengasingkannya daripada Liga Super atas permintaan banyak pihak yang berpendapat tidak wajar dengan hanya satu perlawanan itu, kedua-dua pasukannya sudah boleh mengutip mata liga.
"Menerusi perlawanan ini juga, kita akan sumbangkan beberapa peratus daripada hasil kutipan tiket selepas dibahagikan sesama pasukan itu, kepada sebuah badan amal yang bakal dipilih FAM," katanya selepas majlis undian Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA 2012 di Hotel Grand Bluewave di sini, semalam.
Justeru Hamidin yang juga Naib Presiden FAM menambah, persaingan sebenar Liga Super 2012 bagi 14 pasukan yang layak menyertainya ialah pada 10 Januari ini
"Jawatankuasa mendapati seramai 37 pemain asing sudah didaftarkan pelbagai pasukan Liga M 2012 dengan 24 sijil perpindahan antarabangsa (ITC) mereka diterima sementara sembilan lagi dalam senarai menunggu dan kami menjangka dapat menyelesaikannya dalam seminggu dua ini," katanya.
Mengenai kembalinya pasukan Singapura atau bagi musim depan, Lions XII sejak 1994, katanya, mereka hanya boleh memenangi hadiah wang tunai kemenangan Liga Super atau Piala FA dan Piala Malaysia yang ditawarkan tetapi bukan insentif baru buat setiap pasukan yang berdasarkan pencapaian sepanjang musim.
"Lions XII juga dibenarkan mendaftarkan 10 pemain berusia lebih 23 tahun berdasarkan memorandum persefahaman FAM-FAS (Persatuan Bola Sepak Singapura) tahun ini, memandangkan mereka tidak memiliki skuad Piala Presiden seperti pasukan tempatan dan terikat dengan undang-undang Khidmat Negara di sana.
"Tidak tepat kalau ada yang beranggapan jawatankuasa sudah terlepas pandang perkara ini malah ia dibuat semata-mata atas tradisi Piala Malaysia lalu dan kebaikan bola sepak kedua-dua negara. Harimau Muda A (skuad bawah 23 tahun negara) juga akan bermain dalam Liga S dan Piala Singapura 2012.
Berhubung jadual perlawanan Liga M 2012, katanya, ia dijanji akan diatur dengan cara yang terbaik sambil mengambil kira dan mengutamakan tugasan skuad kebangsaan atau Harimau Muda A seperti Kelayakan Olimpik dan Piala Suzuki AFF mahupun siri persahabatan antarabangsa.
"Beberapa gelanggang seperti Stadium Shah Alam, Larkin Johor Bahru dan Kuala Lumpur bakal ditutup sehingga April depan, begitu juga tiga empat stadium lagi. Sepak mula semua perlawanan dikekalkan 8.45 malam dan jika ada pilihan lain, 4.45 petang," katanya.
No comments:
Post a Comment