Tuesday, December 20, 2011

Sabah sedia encang Sarawak malam ini



KUCHING: Walaupun bakal menghadapi saingan sengit daripada pasukan tuan rumah Sarawak, namun Sabah tetap menjanjikan aksi menarik untuk memberi tentangan kepada Sarawak dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negeri, Petra Jaya malam mini.

Ketua jurulatih Sabah Justin Ganai tetap yakin akan kemampuan anak-anak buahnya untuk beraksi dengan penuh bersemangat menentang Sarawak malam ini.

“Kami sememangnya telah bersedia menghadapi Sarawak dalam aksi persahabatan ‘Borneo’ meskipun sedar akan ‘ancaman’ daripada skuad negeri jiran itu,” kata Justin di sini semalam.

Beliau memberitahu bahawa Sabah yang juga bakal beraksi dalam Liga Super musim depan kini dilengkapi dengan pemain-pemain berpengalaman termasuk bekas penyerang Sarawak, Bobby Gonzales.

Bagaimanapun katanya, Sabah tidak memandang rendah kemampuan pasukan Sarawak lebih-lebih lagi mereka telah mencatat keputusan cemerlang dalam siri Jelajah Bandung, baru-baru ini.

“Kita (Sabah) memang lama tidak menentang Sarawak dalam saingan Liga Malaysia beberapa musim lalu, justeru perlawanan esok (malam ini) menjanjikan aksi amat getir,” katanya sambil berharap semua pemain menunjukkan aksi hebat.

Justin menarik perhatian bahawa aksi persahabatan dengan Sarawak malam ini merupakan kayu pengukur sebenar skuadnya sebelum mereka memulakan saingan Liga Malaysia musim baharu bulan depan.

Beliau berkata dua perlawanan persahabatan benar-benar menguji kemampuan anak-anak buahnya lebih-lebih lagi mengasah jentera serangan yang dikemudikan oleh Bobby dan pemain import asing.

“Saya berharap gandingan pemain-pemain tempatan dan pemain-pemain import mampu memantapkan pelbagai posisi pasukan Sabah,” katanya.
Perlawanan persahabatan Sarawak dan Sabah malam ini bermula jam 8.15 malam dan tiket berharga RM5 dijual di pintu masuk stadium.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...