Kedudukan Mohd. Badri Radzi (jersi merah) sebagai ketua pasukan Kelantan kini dibayangi dengan kehadiran pemain baru, juga pemain import. |
KOTA BHARU - Ketua pasukan Red Warriors musim lalu, Mohd. Badri Radzi atau Piya perlu mempertingkatkan prestasi bagi memastikan posisi beliau kekal musim hadapan.
Ini berikutan pasukan itu kini dibarisi beberapa pemain ternama termasuk import yang berkemampuan untuk menduduki posisi tersebut.
Jurulatih Kelantan, Peter James Butler berkata, ia merupakan satu cabaran sekali gus menuntut Piya menunjukkan komitmen yang tinggi dalam saingan musim hadapan.
"Namun saya percaya keupayaan Piya untuk membimbing pasukan, cuma dia kena ingat Kelantan sekarang mempunyai banyak pilihan termasuk pemain import.
"Saya mahu ketua pasukan musim ini mengambil tanggungjawab untuk membentuk kerjasama dalam satu pasukan. Ketua pasukan bukan satu tugas yang mudah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambahnya, kehadiran trio bekas pemain T-Team dan pemain import akan menjadi saingan sengit kepada Piya.
Beliau bagaimanapun berkata, penentuan ketua pasukan pasukan hanya terletak kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Buat masa ini katanya, pemain tengah yang sedang meningkat, Shakir Shaari mempunyai potensi untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan sekiranya Piya tidak diturunkan.
Sementara itu, Piya diminta mengulas mengenai situasi tersebut mengakui berhadapan saingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
"Bagaimanapun saya tidak kisah siapa yang menjadi ketua pasukan. Apa yang penting kami dalam satu keluarga dapat mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.
"Kami mempunyai pemain yang cukup lengkap. Contohnya Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan Shahrul Idlan Talaha sudah mengetahui corak permainan masing-masing.
"Cuma kita menghadapi masalah komunikasi dengan pemain import tetapi saya rasa ia akan dapat diatasi," katanya.
No comments:
Post a Comment