Saturday, December 24, 2011
Isu pemain import gagal lepasi syarat harus jadi pengajaran
KUANTAN: Isu pemain import yang gagal melepasi syarat beraksi pada Liga Malaysia 2012 (Liga-M) harus menjadi pengajaran kepada setiap pasukan negeri dan kelab agar lebih serius dalam mengikut garis panduan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata ia penting dalam memastikan bola sepak negara benar-benar mencapai tahap profesional. "Saya harap ini menjadi satu pengajaran...kita ini dah masuk profesional, kita kena tahu jadual bila nak ambil pemain import untuk tentukan benar-benar dapat kelulusan FAM," katanya di sini, hari ini selepas melawat 20 mangsa kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Batu 5 di sini, semalam.
Tengku Abdullah berkata demikian ketika mengulas beberapa persatuan
negeri dan kelab yang mahu membuat rayuan selepas sembilan pemain import gagal melepasi syarat beraksi pada Liga-M.
Katanya, FAM tidak akan mendengar rayuan tersebut dan pihak persatuan negeri dan kelab perlu menunggu pendaftaran pemain import pada tarikh berikutnya.
Bagaimanapun, Tengku Abdullah berkata, pihaknya akan mengkaji untuk
mempercepatkan tarikh pendaftaran kedua yang ditetapkan pada April depan ke satu tempoh yang terdekat.
Sementara itu, Tengku Abdullah meminta semua pihak supaya tidak membuat
sebarang andaian dan spekulasi mengenai nasib penyerang negara, Safee Sali
berikutan laporan berhubung Liga Super Indonesia (ISL) diharamkan badan bola sepak dunia FIFA.
"Kita jangan cepat beranggapan, kita masih menunggu cerita sebenar, kita
juga nak dapat pengesahan daripada FIFA tetapi musim perayaan (Krismas) pejabat (FIFA) tutup," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Hoki Malaysia berkata, Liga Hoki Remaja Kebangsaan yang akan bermula pada 9 Januari depan perlu diteruskan walaupun berhadapan dengan masalah stadium yang tidak berada pada tahap terbaik.
Beliau mengakui terdapat stadium yang berada dalam keadaan tidak memuaskan dan pihaknya akan meminta persatuan negeri untuk berbincang dengan pihak berkuasa negeri terbabit bagi memperbaiki keadaan stadium berkenaan.
"Kita akui banyak stadium hoki berada bawah tahap yang kita harapkan, namun saya harap pihak berkuasa negeri dapat memberi keutamaan kepada stadium hoki, saya tahu memang perbelanjaan begitu besar, tetapi (buat masa ini) saya harap pemain, persatuan dan pasukan harus terus bermain juga walau dalam keadaan macam mana sekalipun," katanya.
Laporan akhbar hari ini menyebut hanya 14 daripada 29 stadium hoki di
Semenanjung Malaysia boleh digunakan untuk kejohanan Liga Hoki Remaja
berkenaan. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment