Friday, December 16, 2011

Kemboja berminat sertai Liga M


KEHADIRAN semula pasukan negara jiran, Singapura yang kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan dilihat bukan sahaja mengujakan peminat bola sepak tempatan tetapi juga warga republik itu sendiri.
Kembali dengan nama Lion XII FC, sebahagian besar peminat bola sepak tempatan begitupun pastinya masih belum lupa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang 'berpatah arang berkerat rotan' dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta bertindak keluar daripada saingan Liga M sebelum ini.
Ia gara-gara FAS dikhabarkan tidak berpuas hati dengan peraturan levi tiket sebelum membentuk Liga Singapura (Liga S) kira-kira 17 tahun lepas.
Biarpun ada yang 'kurang senang' dengan 'kepulangan' Singapura kali ini termasuk sikap 'manja' mereka yang membariskan 10 pemain melebihi usia 23 tahun, sudah pasti kehadiran mereka bakal menghangatkan lagi saingan bola sepak tempatan serta mengundang gerun pasukan lawan.
Tidak mustahil akan ada lebih banyak pasukan atau kelab dari negara serantau bakal mengikuti jejak langkah Singapura selepas ini, sekali gus membantu meningkatkan lagi tahap kompetitif Liga M, dan ia turut diakui Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Menurut beliau, selain kelab Preah Khan Reach dari Kemboja yang pernah membuat permohonan bagi menyertai aksi Piala FA sebelum ini, pihaknya juga telah menerima beberapa permohonan daripada beberapa kelab terkemuka dari Thailand dan Indonesia yang turut melahirkan hasrat sama.
"Begitupun, segala-galanya masih di peringkat perbincangan dan tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam masa terdekat setelah meneliti pelbagai aspek.
"Namun, saya juga tidak menolak kemungkinan mengenai penyertaan mereka pada masa depan yang dilihat dapat mengeratkan lagi rangkaian perhubungan antara negara terlibat demi kemajuan bola sepak serantau," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Untuk rekod, selain Singapura, Brunei juga pernah beraksi dalam saingan bola sepak tempatan apabila pernah muncul juara Piala Malaysia 1999, selain pasukan kelab dari negara itu, Brunei DPMM FC yang juga pernah mewarnai saingan Liga M sejak 2005 sebelum berhijrah ke Liga S pada musim 2009.
Meskipun keputusan FAM mengalu-alukan penyertaan pasukan dari luar bagi mewarnai kancah Liga M selepas ini, mungkin ia bakal mengundang persepsi negatif segelintir pemerhati bola sepak yang menganggapnya kurang sesuai, termasuk seolah-olah menjadikan Liga M sebagai 'liga rojak'.
Kesungguhan FAM yang tidak pernah jemu memikirkan formula terbaik bagi meningkatkan kualiti dan tahap kompetitif Liga M supaya muncul sebagai antara liga yang sempurna dan disegani di rantau Asia Tenggara selama ini sememangnya harus dipuji.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...