Tuesday, December 13, 2011

Lamin kembali teraju cabaran Singa Utara


Harian Metro

BEKAS tonggak import dari Zambia, Lamin Conteh atau nama Islamnya, Mohd Lamin Conteh kembali disenaraikan bagi memperkuatkan cabaran skuad Liga Perdana Perlis pada kempen Liga M musim 2012.


Pemain tengah yang turut memainkan peranan membantu skuad Singa Utara menjulang Piala Malaysia 2006 dan Liga Super 2005 serta naib juara Piala FA 2005 itu antara 25 pemain yang disenaraikan bagi membawa cabaran Perlis.

Menurut sumber, Mohd Lamin dipilih jawatankuasa pengurusan pasukan dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berdasarkan keupayaannya yang disifatkan masih hebat selepas turut menyertai beberapa sesi ujian pemilihan terbuka skuad Liga Perdana Perlis 2012 di Stadium Utama Negeri Kangar, baru-baru ini.




Mohd Lamin antara tiga tonggak import Perlis pada kempen Liga M 2005 dan 2006, selain dua penyerang, Phillimon Chipeta dan Zachariah Simukonda yang kini dikatakan sudah mengikat kontrak dengan skuad kendalian Yunus Alif, T-Team.

Selepas menyarung jersi Perlis untuk dua tahun, 2005 dan 2006, Mohd Lamin berhijrah menyarung jersi skuad Negeri Sembilan hingga penghujung musim 2008, sebelum menyertai sebuah kelab di Indonesia apabila khidmat awang import ditamatkan FAM.


Sumber itu berkata, pada awalnya Mohd Lamin tidak menjadi pilihan untuk ‘diikat’ apabila dia menjadi ejen kepada beberapa awang import untuk diuji Perlis.




“Bagaimanapun, selepas sesi ujian dijalankan, beberapa pemain import yang diketengahkannya tidak memenuhi kriteria ditetapkan, sebaliknya dia yang turun hanya sekadar suka-suka pula lebih memikat.

“Walaupun sedikit berusia sekitar 30-an, Mohd Lamin diakui kaya dengan pengalaman, memiliki kehebatan dan kelincahan berbanding pemain import yang hadir untuk diuji,” katanya.




Menurut sumber itu, senarai penuh 25 pemain yang bakal mewarnai skuad Perlis hanya akan diumum secara rasmi oleh Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim, minggu depan.

Selain Mohd Lamin, seorang lagi awang import dari Afrika dijangka turut disenaraikan selain tiga pemain dari luar Perlis iaitu bekas tonggak pertahanan Pahang, Povindran, Mohd Nazrin (Harimau Muda/Johor) dan Mohd Safuan Adly (Perak/Teregganu).


Seramai 10 bekas pemain Liga Super musim lalu turut disenaraikan termasuk Syed Mohd Abdul Ghaffar, Mohd Alif Aswat, Phul Sakh Lum, Hizbullah Awang, Mohamad Rozaidi, Hadi Syahmi Hamzah, Samransak Kram, Mohd Rizal Mohd Ghazali, Hairol Fazreen Abu Hassan, Mohd Ridzuan Othman dan bekas pemain Felda Unted, Amzar Junaidi Abd Jalil.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...