Thursday, December 29, 2011

Razip pening KL hilang pemain tonggak



KUALA LUMPUR - Skuad warga kota mungkin sudah boleh membayangkan laluan berduri yang akan dilalui pada saingan Liga Malaysia 2012, jika diteliti senarai pemain yang akan membawa cabaran Kuala Lumpur.

Kehilangan ramai tonggak seperti Yong Kuong Yong, Muhd. Shahrom Kalam, Norazlan Razali dan Fahrul Razi Kamaruddin, jurulatih, Mohd. Razip Ismail bagaikan bermula daripada kosong untuk menjenamakan semula skuad Kuala Lumpur.

Ditambah dengan bajet yang terhad yang dibekalkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kegagalan mendaftarkan pemain import, dia mengakui tanggungjawab yang dipikulnya cukup berat.

"Walaupun liga akan berlangsung tidak lama lagi, skuad masih tercari rentak kerana kebanyakan pemain musim ini adalah muka baru, hanya enam pemain lama masih kekal.

"Ini menjadi cabaran besar buat saya kerana pemain baru belum ada persefahaman yang jitu.

"Sasaran peribadi saya hanya mahu memastikan Kuala Lumpur masih terus bernafas dalam saingan Liga Super musim 2013.

"Tidak dinafikan ia agak sukar jika dilihat persiapan pasukan lain yang begitu mantap dan perubahan format yang mengurangkan pasukan bersaing dalam Liga Super daripada 14 ke 12, " katanya semalam.

Tiada sebarang nama besar dibawa masuk oleh Kuala Lumpur pada saingan 2012 kecuali Stanley Bernard yang pernah bermain dengan kelab India, Sporting Clube de Goa manakala selebihnya beberapa pemain dari Johor, PKNS dan Piala Presiden Kuala Lumpur yang kurang dikenali.

Dibandingkan dengan senarai pemain skuad Liga Super yang lain, skuad Kuala Lumpur agak ketinggalan namun Razip tidak mahu mengibarkan bendera putih sebelum berjuang.

"Saya berazam memastikan Kuala Lumpur tidak dijadikan pasukan belasahan dan saya harap rentak baik yang dipamerkan pemain pada aksi persahabatan dapat diterjemahkan dalam saingan sebenar," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...