Wednesday, December 21, 2011

Irfan tagih pengalaman Safiq Rahim




KUALA LUMPUR - Pengalaman yang diraih bintang Selangor, Safiq Rahim ketika berlatih di Cardiff City mampu menjadi tonik terbaik buat skuad bimbingan Irfan Bakti menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.


Irfan berkata, sejak Safiq pulang dari kelab Liga Kejuaraan itu prestasi yang dipamerkan pemain itu semakin baik, malah terdapat peningkatan daripada gaya permainan pemain itu.


"Memang ada peningkatan pada Safiq sejak pulang dari Cardiff dan dia juga menunjukkan sikap yang bagus dengan berkongsi pengalaman diperolehi bersama rakan-rakan.


"Saya memang harap yang terbaik buat pemain itu bersama pasukan ini bagi menghadapi musim depan.


"Khabar angin bahawa dia akan ke pasukan lain pada musim depan juga tidak benar kerana kita semua bakal menghadapi saingan liga tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi semalam.


Irfan menambah dia akan cuba memastikan Selangor mampu mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala pada musim depan, selepas gagal mendapat sebarang gelaran musim lalu.


Tambah Irfan, persiapan Selangor untuk menghadapi liga 2012 juga semakin baik melalui perlawanan persahabatan yang diadakan.


Malah Irfan juga mahu menjadikan beberapa perlawanan persahabatan akan datang sebagai medan untuk menilai penjaga gol yang ada bagi mengalas tugas besar dalam kesebelasan utama menghadapi musim baru.


"Saya sedang mencari penjaga gol yang akan mengisi slot dalam kesebelasan utama nanti dan penjaga gol yang ada seperti G. Jeevananthan serta Norazlan Razali perlu bersaing untuk mendapatkan tempat tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...