Tuesday, December 13, 2011

Mbele belum boleh beraksi


Harian Metro

KETIDAKPASTIAN mengenai tarikh sebenar penyerang import Selangor dari Congo, Lalo Mbele boleh diturunkan mungkin meletakkan Selangor sekali lagi berdepan ketumpulan sentuhan penyudah dalam kancah Liga Malaysia musim depan yang dijadual bermula pada 10 Januari.

Situasi itu nyata membawa bencana kepada Selangor pada musim ini hingga gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah selain menamatkan saingan dengan tangan kosong.


Pengendali baru Merah Kuning, Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun enggan menekan butang panik terutamanya selepas peminat bola sepak tempatan dihidangkan dengan kepakarannya melahirkan beberapa penjaring terbanyak dengan Abdul Hadi Yahya dari Terengganu meraih kasut emas musim ini.



“Saya mengarahkan Mbele berehat sepenuhnya untuk memastikan dia benar-benar pulih dan mampu beraksi. Saya tidak akan menurunkannya dalam aksi persahabatan atau menjalani latihan,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan pemain import berusia 24 tahun yang dilapor belum cergas sepenuhnya berikutan pembedahan selepas mengalami kecederaan otot depan paha kirinya.


Tambah pengendali berusia 60 tahun itu, tiada sebab untuk beliau berasa bimbang kerana masih mempunyai kelompok besar pemain yang mampu meledak jaringan untuk Selangor seperti Mohd Amri Yahyah, Mohd Safiq Rahim, R Surendren, Azidan Sarudin dan Mohd Amirulhadi Zainal.



Sementara itu, Irfan Bakti turut mengaku tekanan pasti wujud apabila mengendalikan pasukan yang mempunyai sejarah dan kegemilangan seperti Selangor.


“Yang penting saya perlu membaiki pencapaian musim ini dan memastikan keputusan terbaik dicapai. Sekurang-kurangnya satu piala yang menjadi idaman pihak pengurusan perlu direalisasikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...