KUALA LUMPUR- Kehilangan rakan gandingan di bahagian pertahanan, Mohd. Muslim Ahmad yang membuat keputusan berhijrah ke skuad Liga Super Terengganu pada musim depan tidak menggusarkan Mohd. Fadhli Mohd. Shas.
Bakal membawa cabaran Harimau Muda dalam saingan Liga Singapura, Fadhli berkata, dia menghormati keputusan rakan sepasukannya tersebut yang mahu mencurahkan bakti kepada negeri kelahirannya namun yakin dengan kemampuan seorang lagi pemain pertahanan, Mohd. Amer Saidin.
Malah, Fadhli mendedahkan Amer bukanlah seorang yang asing buat dirinya kerana telah lama bersama dan mempunyai persefahaman yang baik ketika di Harimau Muda B.
''Biarpun Muslim tiada lagi pada musim akan datang semasa kami beraksi di Liga Singapura, saya tidak kisah kerana kami masih ada ramai pemain yang berkebolehan bermain di tempatnya.
''Antaranya Amer Saidin, saya dan dia telah bersama lebih lama iaitu selama dua tahun dalam Harimau Muda B, dia adalah seorang pemain yang bagus.
''Saya juga serasi dengan Amer sebagaimana saya dengan Muslim kerana tahu kekuatan dan kelemahan permainannya, jadi ketiadaan Muslim bukan satu persoalan besar," katanya pada sesi latihan dan pemilihan pemain Bawah 22 tahun negara yang akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan di Sydney, Australia.
Muslim dan Fadhli merupakan dua pertahanan muda negara yang sering digandingkan bersama sama ada di pentas pasukan senior atau Bawah 23 tahun negara.
Tidak terkecuali di saingan Liga Malaysia ketika bersama Harimau Muda A, kedua-dua pemain ini dianggap antara pertahanan terbaik negara dalam masa dekad ini.
Menyentuh perancangannya selepas ini, dia berkata masih belum merancang mahu beraksi dengan mana-mana pasukan lain kerana mahu menimba seberapa banyak pengalaman berharga bersama Harimau Muda.
''Bersama Harimau Muda, saya banyak mendapat pengalaman berharga di samping cara permainan saya semakin baik walaupun baru berusia 20 tahun.
''Masih banyak lagi yang saya perlu belajar, satu lagi, jika tidak kerana Harimau Muda mungkin saya tidak berada di tahap seperti hari ini," katanya.
No comments:
Post a Comment