Thursday, December 22, 2011

RM7j suntik semangat PKNS



SHAH ALAM - Juara Liga Perdana 2011, PKNS FC mengakui penampilan pertama dalam Liga Super musim depan bukan tugas yang mudah apabila berdepan pasukan yang rata-rata berpengalaman.

Menurut Penaung PKNS FC, Othman Omar, kejayaan musim lalu memang membanggakan namun semua pemain harus sedar bahawa beraksi Liga Super lebih sukar.

"Kita akan bertemu dengan pasukan ternama seperti juara Liga Super 2011, Kelantan, juara Piala FA, Terengganu dan juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan jadi saya tidak mahu PKNS FC dibuai kejayaan lalu," katanya dalam Majlis Suai Kenal dan Menandatangani Kontrak Pemain semalam.

Jelasnya, PKNS FC telah melakukan perancangan teliti menjelang musim baru dan berharap agar terus berjaya dalam Liga Super selepas membelanjakan sebanyak RM7 juta yang dianggap sebagai bajet besar.

"Dalam masa yang sama kami juga mengharapkan saingan musim depan PKNS FC akan mendapat sumbangan penajaan yang besar tanpa hanya mengharapkan geran tahunan sahaja.

"Penaja mungkin sudah membuka mata dengan prestasi terkini pasukan. Kita perlu mencontohi pasukan lain yang bertungkus-lumus mencari penaja.

"Prestasi pasukan juga akan diukur setiap masa melalui Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) agar berjaya mencapai sasaran menduduki tempat keenam dalam saingan liga daripada 14 pasukan yang bertanding," katanya.

Tambah Othman, PKNS FC juga perlu mencari strategi baru untuk meningkatkan penjualan tiket dengan mengharapkan kehadiran penonton.

PKNS muncul juara Liga Perdana musim lalu dengan mengumpul 57 mata, pasukan Sarawak kedua yang kurang sembilan mata dan tewas sekali daripada 22 perlawanan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...