Wednesday, December 14, 2011

Laluan berliku menanti Terengganu



Dua Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal (kanan) dan Datuk Hamidin Mohd. Amin mencabut kertas undian Liga Malaysia musim 2012 di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM – Juara bertahan, Terengganu hanya mendapat undian yang agak mudah pada pusingan pertama tetapi bakal berdepan laluan lebih berliku sekiranya memasuki pusingan kedua mahupun suku akhir saingan kalah mati Piala FA 2012.

Semalam, anak buah Mat Zan Mat Aris itu diundi bertemu pasukan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia pada sepak mula 18 Februari ini sebelum melayani pemenang antara bekas juara Piala FA, Perak dengan barisan bintang glamor musim 2012, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pusingan kedua.

Malah, Sang Penyu berkemungkinan besar menghadapi Lions XII pada suku akhir Piala FA secara timbal balik, 24 dan 27 Mac ini jika muka baru yang menggabungkan pemain belia dan senior Singapura itu melepasi cabaran UiTM (pusingan pertama) dan Betaria atau Melaka (pusingan kedua).

Tuah tampak menyebelahi naib juara 2011, Kelantan yang berdepan muka baru Liga Super, Sarawak dalam pusingan pertama sebelum dijangka mudah melepasi Kuala Lumpur atau MP Muar (pusingan kedua) mahupun Harimau Muda B atau Pulau Pinang dan SPA atau MBJB pada suku akhir.

Majlis undian di Hotel Grand Bluewave itu turut menyaksikan bekas juara, Selangor yang disekat Kelantan dalam separuh akhir 2011, cuma berdepan Shahzan Muda yang diturunkan ke Liga FAM 2012 pada pusingan pertama sebelum bakal ditentang Johor FC yang kini diterajui bekas jurulatihnya, K. Devan atau Negeri Sembilan dalam pusingan kedua.

Sebuah lagi pasukan separuh akhir musim lalu, Pahang yang sudah diturunkan ke Liga Perdana 2012 bagaimanapun terpaksa bekerja keras untuk melepasi kelab Kuala Lumpur berbakat besar, Felda United dalam pusingan pertama malah nasibnya bakal bertambah sukar apabila Johor atau T-Team yang menantinya pada pusingan kedua.

Jurulatih Lions XII, V. Sundramoorthy berkata, sebagai muka baru Liga Malaysia sejak ditinggalkan republik itu selepas 1994, sukar untuk meramalkan peluang mereka dalam persaingan kalah mati Piala FA apatah lagi kurang mengenali siapa lawan yang diundi dengan mereka sama ada kelab mahupun pasukan negeri.

“Kami sedar harapan peminat bola sepak di Singapura turut tinggi tetapi kami menjanjikan aksi terbaik dalam Piala FA atau Liga Super (bermula 10 Januari ini) sambil berharapkan kelebihan bermain di padang rumput tiruan Stadium Jalan Besar kami,” kata bekas penyerang Singapura, Kedah, Pahang dan Kelantan pada era 80-an hingga 90-an ini.

Lions XII menurutnya, cuma mempertaruhkan seorang pemain asing yang sudah lama diberikan kerakyatan Singapura, Agu Casmir bagi menghadapi Liga M selain diperkuatkan tonggak senior kebangsaan seperti Izwan Mahbud, Shahril Ishak, Hariss Harun dan Khairul Amri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...