Tuesday, December 20, 2011

Eksperimen menjadi


Harian Metro

SKUAD Olimpik negara menamatkan siri jelajah di Sydney, Australia dengan cemerlang apabila menewaskan kelab Liga Australia (Liga-A), Central Coast Mariners FC 4-1 pada aksi persahabatan, semalam.


Pada perlawanan di padang Akademi Central Coast Mariners, Mingara itu, skuad kendalian Ong Kim Swee membuka tirai jaringan menerusi gol penyerang Ahmad Fakri Saarani di minit ke-13 selepas menolak masuk hantaran lintang Mohd Fandi Othman.

Bersambung babak kedua, Kim Swee membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan penyerang Ahmad Hazwan Bakri dan A Thamil Arasu.




Ternyata percaturan itu membuahkan hasil dengan pemain Kuala Lumpur, Hazwan meledak dua gol pada minit ke-48 dan 60 manakala Thamil menjadikan kedudukan 4-0 menerusi jaringan di minit ke-71.

Pendahulu Liga-A, Mariners yang menurunkan enam pemain dari skuad utama dalam perlawanan itu berjaya meraih gol sagu hati selepas percubaan Ben Jerman di minit ke-85 menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.


Bagi Kim Swee, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain kali ini selepas mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sydney FC pada aksi pertama sebelum tumpas 1-0 kepada Mariners dalam aksi terdahulu.




“Pemain bermain lebih baik berbanding ketika kita tewas 1-0 sebelum ini, banyak aspek positif kita dapat lihat terutama jentera serangan apabila penyerang Hazwan, Fakri dan Thamil berjaya menjaringkan gol,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Mariners, Graham Arnold memuji permainan yang ditunjukkan pemain skuad bawah 22 negara.



“Mereka mempamerkan permainan yang mengagumkan. Mereka masih muda dan jika terus dikekalkan dalam skuad ini dan terus diberikan pendedahan saya percaya mereka mempunyai masa depan yang baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...