Wednesday, December 28, 2011

Yishun kubu Harimau Muda


Harian Metro

STADIUM Yishun yang boleh memuatkan kapasiti 3,400 penonton mungkin menjadi gelanggang rasmi buat skuad Harimau Muda A apabila tampil kali pertama dalam saingan Liga Singapura (Liga S) tahun depan.


Namun semuanya masih belum pasti kerana belum ada pengumuman rasmi dibuat, malah bukan itu saja, segala maklumat termasuk jadual perlawanan liga juga masih tidak diketahui.

Perkara itu diakui sendiri jurulatih Ong Kim Swee yang menyatakan beliau belum mendapat maklumat terkini mengenai penyertaan mereka dalam Liga S yang dijangka bermula pada 9 Februari ini.




“Saya setakat ini belum dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Stadium Yishun akan menjadi gelanggang Harimau Muda A.

“Saya belum tahu mengenai jadual perlawanan Liga S, cuma apa yang saya dimaklumkan liga itu akan bermula pada 9 Februari. Saya berharap semua urusan ini boleh diketahui dalam tempoh terdekat ini kerana akan memudahkan kami menyusun jadual kerana pemain Harimau Muda A turut bersaing dalam kelayakan Olimpik London pada Februari dan kejohanan Piala AFC bawah 22 tahun, Jun nanti.


“Saya tidak mahu ada sebarang pertindihan jadual nanti. Mungkin pihak Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sudah dimaklumkan mengenai jadual kita dalam pusingan kelayakan Olimpik, cuma saya bimbang mereka terlepas pandang mengenai kejohanan Piala AFC,” katanya.




Dua perlawanan kelayakan Olimpik membabitkan skuad muda negara akan berlangsung pada 5 Februari menentang Bahrain sebelum bertemu Jepun pada 22 Februari. Perlawanan terakhir Malaysia pada pusingan kedua Kumpulan C itu berdepan Syria pada 14 Mac.

Harimau Muda A yang dibarisi 28 pemain bawah 22 tahun akan bersaing dalam Liga S hasil perjanjian kerjasama selama empat tahun di antara FAS dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut menyaksikan pasukan Singapura, Lions XII menyertai Liga Malaysia musim depan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...