Rakan sepasukan dari Lubnan tidak fasih berbahasa Inggeris
KELANTAN dijangka memiliki dua penyerang berbisa dalam Liga Super musim ini, namun apa yang tampak cacat ketika ini adalah masalah komunikasi.
Semalam, Norshahrul Idlan Talaha akur dia ada masalah berkomunikasi dengan Mohammed Ghaddar kerana pemain import dari Lubnan itu tidak fasih berbahasa Inggeris.
“Setakat ini, saya banyak menggunakan bahasa tubuh untuk mengatur gerak di bahagian serangan daripada berkomunikasi dengan Ghaddar,” kata Pemenang Anugerah SuperMokh itu ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Kelantan, di Kota Bharu, kelmarin.
“Dengan beberapa siri perlawanan persahabatan serta latihan yang diadakan lebih awal, saya harap ia mampu mengatasi masalah kesukaran berkomunikasi dengan pemain import, terutama Ghaddar, sekali gus dapat mencari keserasian dan persefahaman di bahagian serangan pasukan,” katanya.
Norshahrul yang lebih mesra dengan panggilan Mat Yo mengakui masih mencari rentak terutama meningkatkan kemahiran selain memulihkan kecederaan dialaminya sebelum bermulanya saingan Liga Super musim depan.
Selain Ghaddar, Kelantan turut diperkuatkan dua pemain import dari Ghana, Emmanuel Okine dan Denny Antwi selain Zacharia Charara dari Lubnan. Ia juga ke arah cabaran Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
No comments:
Post a Comment