KUALA LUMPUR - Tidak perlu rasa kecewa dan banyak perkara yang dipelajari.
Itulah yang dikatakan oleh jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee selepas tewas 0-1 kepada Central Coast Mariners dalam perlawanan kedua siri perlawanan persahabatan di Australia, semalam.
Menurut Kim Swee, apa yang paling mustahak adalah bukan keputusan tetapi pendedahan yang diraih pemain cukup banyak tambah lagi bertemu dengan salah sebuah pasukan hebat di Liga Australia.
"Kita dapat nilai kelemahan pasukan hari ini (semalam) dan pemain mula memperbaikinya dalam perlawanan, mereka (Central Coast Mariners) juga bukan calang-calang pasukan kerana beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysiasemalam.
Jelasnya, Central Coast menurunkan pemain utama mereka dan ia sesuatu yang positif buat anak buahnya kerana berkesempatan untuk beraksi pada peringkat tertinggi berbeza ketika bertemu Sydney FC kelmarin.
"Ketika menang dengan Sydney FC 3-0 semalam (kelmarin) kita berdepan dengan pasukan yang mempunyai tahap yang berbeza, mereka menurunkan pemain simpanan tidak seperti Central Coast Mariners yang menampilkan pemain utama.
"Ini adalah pasukan yang hebat dalam Liga Australia kerana berada di kelompok teratas, ini sesuatu yang cukup baik buat pasukan di mana kami amat memerlukan perlawanan seperti ini seberapa banyak yang mungkin," ujarnya.
Central Coast Mariners yang menduduki tempat kedua liga musim ini dibimbing oleh Graham Arnold yang merupakan bekas pemain kebangsaan Australia dan pernah membimbing skuadSocceroos pada 2006-2007.
Kim Swee berkata, pemain harus mengekalkan corak permainan meneruskan intensiti yang ada sekarang sebagai bekalan pada perlawanan penting pada masa akan datang.
Kecuali penjaga gol, Kim Swee menyenaraikan pemain utama termasuk rangkaian pertahanan Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Zubir Azmi manakala rangkaian tengah pula diisi oleh K. Gurusamy, Nazmi Faiz Mansor, Fandi Othman dan Wan Zack Haikal Wan Noor. Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Hazwan Bakri diletakkan di bahagian serangan.
Skuad Harimau Muda beraksi cemerlang pada keseluruhan perlawanan sebelum bolos pada minit ke-83. Isnin depan mereka akan berdepan satu lagi perlawanan persahabatan bertemu pasukan Newcastle United Jets di Stadium Ausgrid, Newcastle.
No comments:
Post a Comment