Friday, December 30, 2011

Irfan ‘korban’ pemain


Harian Metro


BEBERAPA pemain tengah terpaksa dikorbankan Irfan Bakti Abu Salim bagi memastikan Selangor mendapat kombinasi terbaik untuk mengharungi kancah Liga Malaysia 2012 yang membuka tirainya awal bulan depan.


Kehadiran ramai pemain tengah yang berkualiti memaksa pengendali baru Selangor itu membuat penilaian teliti bagi memilih individu yang mampu memberi sumbangan kepada kejayaan pasukan dan selebihnya terpaksa memanaskan bangku simpanan.

Antara pemain tengah berkualiti dan sudah mempunyai nama besar dalam kancah bola sepak tempatan yang dimiliki Merah Kuning adalah Mohd Safiq Rahim, K Gurusamy, Azidan Sarudin, Mohd Bunyamin Omar, Fitri Shazwan Raduwan, Solihin Kanasian Abdullah, Fazilidin Khalid dan Mohd Amirulhadi Zainal.




“Kami mempunyai ramai pemain tengah. Ada pemain terpaksa disisihkan walaupun mempamerkan aksi baik ketika pramusim. Saya sudah dapat bayangan kesebelasan utama dan bakal menurunkan mereka dalam baki dua aksi persahabatan nanti,” katanya.

Pendatang baru Liga Perdana musim depan dari Negeri Sembilan, Betaria FC akan menjadi lawan Selangor di Stadium UiTM, petang ini diikuti Pos Malaysia sebagai aksi terakhir Selasa depan selepas menewaskan enam pasukan sebelum ini dan tewas sekali kepada Johor FC.


“Antara kriteria yang saya mahukan adalah pemain tengah yang mampu menjaringkan gol bagi mengurangkan beban dan tumpuan terarah kepada penyerang. Selain itu saya juga mahukan setiap pemain dalam kesebelasan utama mampu meledak gol terutamanya menerusi sepakan percuma atau penjuru,” katanya.




Berdasarkan aksi persahabatan yang diharungi Selangor sejak awal bulan ini, jentera serangan Selangor, diketuai kapten Mohd Amri Yahyah tetap tajam kerana sudah meledak 23 gol dan hanya melepaskan empat jaringan walaupun tanpa kehadiran penyerang import, Lelo Mbele yang masih dibelenggu kecederaan.

Malah kehadiran bekas penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali terus menyuntik keyakinan kepada Irfan Bakti dalam membentuk barisan mantap Merah Kuning musim ini yang mensasarkan sekurang-kurangnya satu piala.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...