MBELE sebelum meresahkan skuad Selangor kerana belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan otot depan paha kirinya, Julai lalu, ketika menyarung jersi kelab Libya, Al-Nasr Benghazi. |
PENYERANG import Selangor dari Congo, Lelo Mbele memberi harapan untuk pulih lebih awal daripada jangkaan apabila turun menjalani latihan penuh buat kali pertama di Padang SUK, Shah Alam, petang kelmarin.
Mbele, 24, sebelum ini menghadirkan resah kerana belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan otot depan paha kirinya, Julai lalu, ketika menyarung jersi kelab Libya, Al-Nasr Benghazi.
Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Mbele turun berlatih tanpa menunjukkan sebarang masalah selepas tiga minggu dia menjalani latihan pemulihan dan dijangka dapat diturunkan untuk perlawanan sebenar, tiga minggu lagi.
“Banyak peningkatan saya nampak berbanding ketika dia datang pada hari pertama latihan (5 Disember lalu). Dia kini tidak menunjukkan sebarang kesakitan, cuma perlu meningkatkan tahap kecergasannya selepas lima bulan tidak beraksi.
“Tapi saya tak mahu paksa, biarlah dia benar-benar bersedia. Sepanjang ketiadaannya, saya akan sandarkan harapan kepada penyerang tempatan yang ada iaitu Amri Yahyah, R Surendren dan Wan Hoesne Wan Hussain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Selangor sudah mengharungi enam aksi persahabatan dengan mencatat lima kemenangan - Sime Darby 2-0, MP Muar 5-0, Polis 3-0, MP Muar 2-1 dan Johor 4-1, tetapi tewas 0-2 kepada Johor FC, Jumaat lalu.
“Cuma saya agak pening memilih Asraruddin Putra Omar atau Nasriq Baharom bergandingan dengan Ramez Dayoub (import dari Lubnan) di posisi bek tengah kerana kedua-duanya bagus,” jelas Irfan.
Baki tiga aksi persahabatan sebelum pertemuan sulung Liga Super menentang Negeri Sembilan di Paroi, 10 Januari depan, Selangor bertemu UiTM, malam tadi, disusuli Pahang (Jumaat ini) dan Pos Malaysia (3 Januari).
No comments:
Post a Comment