SIAPA yang bakal menyarung lilitan lengan selaku ketua pasukan bola sepak liga perdana Angkatan Tentera musim 2012 hanya akan diketahui Khamis depan.
Ketua jurulatih pasukan, B Sathianathan, berkata walaupun beliau mempunyai beberapa nama yang layak dilantik memakai lilitan itu, namun dia perlu berunding terlebih dulu dengan pihak pengurusan pasukan.
Mereka yang akan membuat pilihan termasuk Presiden dan Naib Presiden Persatuan Bola sepak Angkatan Tentera (PBAT) dan penaja pasukan musim ini.
Beliau berkata, pemain yang bakal menyarung jersi pasukan dalam kempen bermula 9 Januari depan pula hanya akan ditentukan menjelang setiap kali perlawanan. Berdasarkan lawan yang bakal ditemui, dia akan menetapkan formasi yang akan digunakan.
“Sekurang-kurangnya ada tiga formasi yang saya akan gunakan sepanjang kempen musim 2012 antaranya 4-5-1, 4-4-2 dan 4-3-3. Setiap formasi menggunakan pemain yang berlainan,” katanya.
Menurut Sathia dia berpuas hati persembahan pasukan selepas mengharungi empat perlawanan persahabatan yang mencabar iaitu tiga di Myanmar serta dengan Harimau Muda, dan akan bertemu Lion XII malam ini di Stadium MBPJ.
No comments:
Post a Comment