Thursday, December 15, 2011
Irfan tidak teruja
JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim seakan tidak teruja dengan kemenangan besar 5-0 anak buahnya ke atas MP Muar pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.
Pengendali berusia 60 tahun itu berkata, beliau belum puas hati dengan aksi pemainnya biarpun ia kemenangan kedua pada siri persiapan musim baru Liga Malaysia 2012 sejak dia mengikat kontrak bersama gergasi Merah.
“Saya lebih berminat untuk membicarakan persembahan pemain dan bukannya jumlah jaringan yang kami hasilkan dalam tempoh persiapan.
“Saya tidak mahu pemain mengambil mudah tidak kira siapakah lawan yang akan ditentang. Masih banyak aspek perlu diperbaiki namun saya puas hati dengan tahap disiplin dalam permainan yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan tadi (semalam),” katanya.
Aksi menentang pasukan Liga Perdana, MP Muar semalam adalah perlawanan pra-musim kedua Selangor selepas menewaskan Sime Darby, 2-0 minggu lalu.
Gol pasukan Merah Kuning kali ini dijaringkan kapten, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-22, Fitri Shazwan Raduwan (m-41), Mohd Bunyamin Omar (M-60), Adib Aizuddin Abd Latif (m-68) dan Solihin Kanasian (m-88).
Biarpun belum dapat menguji penyerang import dari Congo, Lelo Mbele yang belum pulih kecederaan, Irfan sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kerana pemain pertahanan Ramez Dayoub dari Lubnan sudah menunjukkan keserasian.
“Tahap kecergasan pemain masih belum mencapai tahap 100 peratus, saya juga belum puas hati dengan bahagian tengah dan juga serangan. “Ramez sudah mempamerkan peningkatan bersama pasukan dan tidak mempunyai masalah untuk bermain dalam pasukan ini,” kata Irfan yang diberikan tugas untuk mengembalikan kegemilangan Selangor yang gagal meraih sebarang piala musim lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment