KEHADIRAN pemain import dalam skuad Negeri Sembilan pada saingan Liga M musim 2012 tidak membuatkan penyerang muda, Mohd Firdaus Azizul berasa rendah diri.
Selepas berjaya mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang musim lalu sehingga menjadi antara tonggak utama pasukan, pemain berusia 22 tahun itu tetap yakin dengan kemampuannya untuk terus berada dalam kesebelasan utama.
“Saya akui ada persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan kehadiran pemain import, namun yakin ia tidak akan menjejaskan kedudukan saya.
“Namun begitu saya akui perlu bekerja lebih keras dan berada pada tahap terbaik bagi memastikan tidak tersisih dalam setiap perlawanan sepanjang saingan nanti,” katanya sebelum bertolak ke Australia, baru-baru ini.
Menurut Firdaus, walaupun dia antara pemain yang kurang pengalaman tetapi selepas diberikan pendedahan, dia kini tidak lagi merasa gugup untuk melaksanakan tugas yang diberikan ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah.
Baginya, pendedahan itu banyak memberi manfaat kepadanya terutama meningkatkan lagi prestasi dalam memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan.
“Sebenarnya baru musim lalu, saya berada dalam senarai kesebelasan utama berbanding sebelum ini sebagai pemain simpanan, tetapi pengalaman bersama skuad kebangsaan menghadapi Piala AFF, menjadi detik bermulanya sejarah saya dalam kancah Liga M.”
No comments:
Post a Comment