Friday, December 30, 2011
Jangan ingkar arahan
TINDAKAN pasukan yang tetap berdegil untuk menurunkan pemain import tidak mendapat kebenaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan Liga Malaysia musim depan hanya akan mengundang padah apabila badan induk bola sepak tanah air itu bersedia mengenakan hukuman tegas.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata mereka tidak akan mengubah keputusan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM dan semua pasukan harus mematuhinya.
“Tidak ada perubahan, jika ada pasukan menurunkan pemain import yang tidak mendapat kebenaran, perlawanan itu tidak akan dikira, tindakan menolak mata pasukan yang melakukan kesalahan itu mungkin diambil.
“Peluang masih ada untuk mana-mana pasukan mengambil pemain import namun mereka harus mendaftar pemain sesi kedua pada 2 hingga April depan dan pemain itu perlulah mengikut piawaian ditetapkan,” kata Azzuddin ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (JKPT) semalam.
Sebelum ini, FAM sudah mengeluarkan senarai tujuh pemain import yang tidak memenuhi syarat FAM mengikut piawaian Fifa iaitu Richard Offiong (Johor), Tito Fernando Da Silva Pinto dan Tiago Lima Leal (Johor FC), Bianchi Parades Santiago (Felda United), Marquen Nuquen Goncalves (Negeri Sembilan), Sergey Ivanov (Pahang) dan Helmi Loussaief (PKNS FC).
Permohonan membabitkan pemain Terengganu, Tercio Nunes Machado dan Oladimeji Mathew Talabi dari pasukan kelab Negeri Sembilan, Betaria FC pula ditarik balik manakala hanya 26 pemain dibenarkan beraksi musim depan.
Berdasarkan syarat yang ditetapkan, status pemain ditentukan oleh kelab terakhir disertai, misalnya jika dari Amerika Latin dan Eropah, pemain mestilah dari Divisyen 2 ke atas, manakala bagi negara Asia, pemain mestilah dari Divisyen 1 ke atas.
Biarpun FAM sudah membuat keputusan, difahamkan ada pasukan yang masih menyimpan pemain yang tidak mendapat kebenaran itu dan diturunkan dalam aksi perlawanan persahabatan sebelum ini.
Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mempengerusikan mesyuarat JKPT berkata, mereka sudah menilai semula keputusan Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM dan memutuskan untuk tidak menerima rayuan pasukan terbabit.
“Kami sudah menyemak semula perkara ini dan kami tetap dengan keputusan yang dibuat sebelum ini. Kami akan menghantar surat mengenai ketetapan ini kepada semua pasukan dan saya yakin tidak akan ada pasukan berdegil menurunkan pemain import tidak mendapat kelulusan itu,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment