Thursday, December 15, 2011

Popovic selesa bersama Seladang


Harian Metro

LAYANAN baik dan kemesraan rakan sepasukan membuatkan awang import Perak, Lazar Popovic berasa selesa selepas seminggu berada di negara ini.


Justeru pemain dari Serbia itu yakin akan menikmati musim pertama memberangsangkan dalam kancah Liga M bersama skuad Seladang.

“Orang di sini baik dan peramah. Rakan sepasukan menerima saya dengan baik menyebabkan saya tidak rasa terpinggir,” katanya yang gemar dengan panggilan Popo oleh pemain Seladang.




Walaupun mengaku menghadapi sedikit masalah cuaca panas negara ini, penyerang itu berkata, dia pernah beraksi di rantau Asia dua tahun lalu ketika mewakili Kelab Daegu dari Korea Selatan.

“Saya rasa cuaca bukan masalah besar apabila saya sudah menyesuaikan diri,” katanya.


Penyerang tinggi lampai itu berharap meneruskan kecemerlangan ketika menyumbang sembilan gol untuk membantu FK Zeljeznicar Sarajevo muncul juara Liga Perdana Bosnia musim ini.




“Saya diambil Perak untuk menjaringkan gol. Sudah tentu saya akan berusaha melaksanakan tugas itu sebaik mungkin,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia boleh berada di Malaysia, pemain itu berkata, Josko Farac yang pernah mewakili Perak pada 2002 mencadangkan kepadanya supaya mencuba nasib bersama bekas majikannya itu.



“Josko beritahu saya Perak memerlukan khidmat seorang penyerang berbisa dan menyarankan saya supaya datang ke Ipoh. “Saya akan buktikan dan membalas kepercayaan pegawai pasukan Perak terhadap saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...