NORSHAHRUL Idlan Talaha (kanan) pada pembukaan kedai ke-100 Al-Ikhsan di Kuala Lumpur, kelmarin. |
KUALA LUMPUR - Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan menjelang Liga Malaysia 2012, bulan depan bagi menyesuaikan diri dengan formasi baru 4-3-3 yang diterapkan oleh jurulatih baru Kelantan, Peter James Butler.
Berbeza formasi 4-4-2 kegemaran Datuk M. Karathu musim lalu, penyerang yang turut digelar Mat Yo itu bakal lebih kerap bertindak sebagai penyerang tengah sambil diapit dua tonggak import baru Wira Merah apabila tirai musim 2012 disingkap dengan Piala Sultan Ahmad Shah, 7 Januari ini.
"Saya baru mencuba formasi baru dengan jurulatih baru ini dalam perlawanan pra-musim Liga M ketika kami menewaskan T-Team 2-0 di Kota Bharu, baru-baru ini dan sejauh mana keberkesanannya, hanya dapat diketahui jika digunakan dalam lebih banyak perlawanan," katanya.
Norshahrul bakal diletakkan dalam serangan serampang tiga itu dengan penyerang kiri dari Lebanon, Mohammed Mahmoud Ghaddar dan Danny Antwi dari Ghana di sebelah kanannya, terutama bagi mempertahankan gelaran Liga Super Si Kijang mulai 10 Januari ini.
Mat Yo yang membentuk gandingan serangan juara Piala Suzuki Malaysia 2010 dengan Safee Sali, ditemui pada majlis pembukaan kedai ke-100 Al-Ikhsan di BB Plaza kelmarin oleh Pengerusi syarikat pengedar pakaian sukan itu, Siti Maryam Mahmud.
Katanya, Mohammed yang didapati kurang fasih berbahasa Inggeris juga agak mengekang usahanya untuk lebih cepat membentuk keserasian gandingan dengan pemain itu yang hanya tahu berbahasa Arab.
"Bagaimanapun kami akan terus mencuba memupuk persefahaman itu menerusi bahasa pergerakan tubuhapabila bermain secara timbal balik dengan juara Liga Prima Indonesia, Persebaya pada 23 dan 28 Disember ini di Kota Bharu dan Surabaya (merebut Piala Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia).
Mengenai kehadiran Lions XII selain keistimewaan pasukan jemputan Singapura itu yang dijamin kekal dalam Liga Super hingga 2016 walau apa pun kedudukan akhirnya, kata Mat Yo, "Mereka mungkin lebih dapat membaca corak permainan kita menerusi pendedahan dengan lebih banyak pasukan tempatan kita.
"Namun saya percaya, aksi tonggak mereka yang ada di antaranya yang mewakili pasukan kebangsaan Singapura, juga dapat dikutip dan dimanfaatkan pemain kita apabila ada perlawanan antarabangsa dengan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment