Monday, December 19, 2011

Johor FC sudah bersedia


Harian Metro

JOHOR FC sudah bersedia untuk berdepan Singapura Lions XII dalam saingan Liga Super 2012.


Itu luahan ketua jurulatih, K Devan yang menolak dakwaan betapa penyertaan pasukan dari Seberang Tambak itu hanya sekadar melemahkan semangat pasukan yang beraksi dalam kancah liga elit domestik musim depan.

Walaupun pada awalnya Singapura Lions XII dijangka menyenarai pemain bawah 23 tahun namun kehadiran beberapa pemain kebangsaan itu yang melebihi umur mengundang rasa kurang puas hati di kalangan pasukan lain yang turut beraksi dalam saingan Liga Malaysia.




“Johor FC tidak menganggap Singapura Lions XII yang tidak menyenaraikan pemain berusia 23 tahun sebagai ancaman sebaliknya bakal mewujudkan perlawanan menarik dengan kelibat beberapa pemain senior skuad itu.

“Saya tahu keresahan kebanyakan pasukan terarah kepada masalah padang apabila beraksi di padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar berbeza dengan padang rumput asli yang menyaksikan pergerakan bola lebih pantas dan pemain mudah kepenatan.


“Sebenarnya, ada caranya untuk beraksi di padang rumput tiruan dan saya akan pastikan pemain Johor FC tidak terikut-ikut dengan corak pasukan Singapura Lions XII yang sudah masak dengan permukaan padang itu,” katanya.




Mengenai persiapan skuad Lebah, Devan mengesahkan pemain pertahanan Mohd Izuan Jarudin masih mengalami kecederaan ketika sesi latihan dan terpaksa direhatkan selama tiga minggu.

Beliau juga menegaskan semua pemain masih belum berada di tahap kecergasan yang memuaskan namun yakin masalah itu dapat diatasi menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan yang sudah diatur.



“Dua pemain import, Tito Da Silva dan Tiago Leal tampak semakin menyesuaikan diri dengan corak permainan dan saya sedang berusaha untuk mencari kombinasi terbaik sebelum memutuskan kesebelasan utama kelak,” kata Devan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...