KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu Liga Malaysia terus melahirkan pemain hebat pada saingan musim 2012 walaupun dengan kehadiran semula tenaga import.
Selama tiga musim iaitu 2009, 2010 dan 2011 skuad kebangsaan meraih kejayaan peringkat Asia Tenggara ketika saingan liga tempatan tidak menggunakan khidmat pemain luar.
Persoalannya apakah kehadiran pemain import akan merencatkan kebangkitan skuad bola sepak kebangsaan?
Mengulas persoalan tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berharap fenomena kebangkitan skuad kebangsaan seperti mana sepanjang ketiadaan pemain import tiga musim lalu akan berterusan.
“Saya akui kita berjaya melahirkan pemain hebat sepanjang tiga tahun ketiadaan pemain import kerana semua pasukan menggunakan tenaga tempatan.
“Namun sama ada pemain tempatan akan meningkat atau tidak (ekoran kehadiran pemain import) ia hanya dapat dinilai setelah saingan musim 2012 berakhir,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sejak menghentikan khidmat pemain import mulai 2009, pada tahun tersebut skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA buat pertama kali selepas 20 tahun di Laos.
Kegemilangan bola sepak negara berterusan tahun lalu dengan kejayaan lebih besar apabila memenangi Piala Suzuki AFF.
Terbaru, skuad muda negara yang dibimbing Ong Kim Swee mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta.
Azzuddin percaya semua pasukan cukup matang dalam membuat keputusan mengenai kekerapan pemain tempatan untuk digunakan dalam setiap perlawanan tanpa mengira posisi.
“Setiap pasukan harus memberi peluang sebaik mungkin kepada pemain tempatan untuk beraksi dalam kesebelasan utama. Mereka memerlukan banyak pendedahan.
“Ia bukan sahaja pada posisi serangan tetapi posisi lain. Berdasarkan pendaftaran pemain untuk musim 2012, kebanyakan pasukan menggunakan seorang pemain import bagi posisi serangan, tengah dan pertahanan.”
“Pemain tempatan tidak harus tercicir dalam saingan musim depan. Setiap pasukan harus mengekalkan prestasi cemerlang pemain tempatan untuk kebaikan pasukan kebangsaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment