Wednesday, December 28, 2011

Kijang membara


Harian Metro

SELEPAS seri 1-1 perlawanan pertama, semangat 22 pemain Kelantan yang dibawa ke Indonesia terus membara bagi misi memburu kejuaraan Piala Unity menerusi aksi kedua menentang Persebaya FC di Surabaya, Indonesia, pada jam 9 malam ini.


Skuad Red Warriors yang diketuai pengurus pasukannya, Azman Ibrahim dan ketua jurulatih, Peter James Butler disambut meriah peminat tuan rumah ketika tiba, petang semalam. Perlawanan di Stadium Gelora 10 November itu akan disiarkan secara langsung di IndoPek Astro Saluran Bintang 141.

Azman berkata, Kelantan akan diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import, Mohammed Ghaddar, Denny Antwi dan Zacharia Charara selain gandingan pemain tempatan seperti penyerang Norshahrul Idlan Talaha serta penjaga gol negeri dan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.




“Keputusan seri di Kota Bharu pada Jumaat lalu tidak melemahkan kami untuk bangkit pada perlawanan kedua nanti. Pada perlawanan kali ini, kami akan menurunkan Khairul Fahmi selepas dia tidak beraksi perlawanan pertama,” katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, Kelantan akan beraksi tanpa kelibat Azizi Mat Rose dan Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim yang menerima kad merah dan dua kad kuning selain pemain import, Emmanuel Okine yang cedera.


Bagaimanapun, beliau yakin dengan persiapan dilakukan Butler bagi menghadapi perlawanan kedua itu selepas beraksi dengan sembilan pemain di Kota Bharu.




“Saya harap kombinasi tiga import dan pemain muda serta berpengalaman mampu membolehkan kami menjuarai Piala Unity,” katanya.

Sementara itu, Butler bukan saja mengharapkan anak buahnya memenangi perlawanan itu tetapi memperoleh pengalaman berguna sebelum bermulanya Liga M dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.




Katanya, semua pemain mendapat rehat mencukupi sebelum bermulanya perlawanan malam ini dan mereka mampu meningkatkan kualiti serta menitikberatkan aspek taktikal tinggi ketika beraksi di padang.

Malah, menurutnya, sambutan meriah diberikan pasukan tuan rumah juga menyuntik semangat anak buahnya untuk beraksi sebaik mungkin.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...