Monday, December 12, 2011

T-Team sasar teratas





KOTA BHARU – Ketua jurulatih T-Team, Yunus Alif menuntut komitmen penuh kesebelasan pemain utamanya bagi merealisasikan sasaran untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas dalam Liga Super musim depan.

Beliau berkata, pada masa sekarang, pihaknya dalam proses membentuk semula pasukan setelah kehilangan beberapa tonggak utama dan ia memerlukan sedikit masa untuk mewujudkan persefahaman di kalangan pemain.

“Kita berjaya mengikat dua pemain Selangor iaitu Mohd. Fadzli Shaari dan penjaga gol, Mohd. Iqbal Mohd. Suhaimi dan sedikit masa lagi dua pemain Perlis iaitu Mohd. Faiz Subri dan Wan Khairul Faiz Kamaruddin akan menyertai pasukan ini.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain sepanjang kita menghadapi beberapa perlawanan persahabatan pra-musim di ibu negara minggu lalu,” katanya ditemui di sini semalam.

Untuk saingan Liga-M musim depan, pasukan T-Team kehilangan khidmat trio iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Azizi Mat Rose yang kembali ke pangkuan pasukan Kelantan, sementara Mohd. Haris Safwan Mohd Kamal menyertai pasukan Johor FC.

Mengulas prestasi pemain importnya setakat ini, Yunus berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan penyerang Zambia, Zacharia Simukonda yang kembali menunjukkan sentuhan berbisa meskipun meninggalkan kancah Liga-M sejak tiga tahun lalu.

“Kehadiran Zacharia bersama pasukan ini tepat pada masanya. Dia sudah menunjukkan sentuhan berbisa apabila menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan persahabatan yang kita harungi sebelum ini.

"Lagipun beliau sebenarnya sudah masak dengan corak permainan liga di negara kita," katanya.

Bagi melengkapkan kuota seorang lagi pemain import, Ahmad Yunus menjelaskan pihaknya akan mengikat pemain dari Bosnia Herzegovina, Bojan Petric selepas diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini.

“Dia baru berusia 24 tahun dan saya lihat dia berjaya memenuhi kriteria pemain import yang kita perlukan untuk pasukan ini. Beliau boleh bermain di dua posisi iaitu ‘defensive midfielder’ dan pertahanan untuk pasukan T-Team,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...