Saturday, March 16, 2013

Norazlan idam jersi No. 1

SUMBER: UTUSAN ONLINE
 
PETALING JAYA - Mungkin sudah tiba masanya buat penjaga gol Selangor, Norazlan Razali diberi peranan utama mengawal gawang Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan berdepan Arab Saudi esok dan Yemen, 22 Mac ini.

Setelah sekian lama sekadar berpuas hati di belakang dua penjaga gol utama, Mohd. Farizal Marlias dan Khairul Fahmi Che Mat, prestasi yang ditunjukkan Norazlan dalam saingan Liga Malaysia nyata cukup memukau dan layak dinaikkan pangkat menjadi penjaga gol No. 1 negara.

Hakikat itu tidak dapat disembunyikan oleh Norazlan yang jelas mahu meraih kepercayaan jurulatih, Datuk K. Rajagobal bagi diturunkan dalam mana-mana perlawanan sama ada berdepan Arab Saudi atau Yemen.

''Itu semua terpulang kepada jurulatih dan saya anggap peluang adalah 50-50 untuk diturunkan, apa yang penting saya mesti memberi yang terbaik semasa latihan.

''Memang musim ini saya dapat berasakan prestasi semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini dan saya rasa cukup yakin tiap kali beraksi.

''Cuma persoalannya bagaimana saya mahu mengekalkan prestasi sekarang bagi meraih kepercayaan jurulatih," katanya ketika ditemui selepas latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu berjaya mengetepikan saingan seorang lagi bekas penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee apabila lebih kerap menjadi pilihan Irfan Bakti untuk diturunkan dalam kebanyakan perlawanan.

Hasilnya, Selangor menjadi pasukan kedua terbaik bersama Felda United selepas LionsXII yang paling kurang dibolosi.

Kehadiran Sharbinee juga antara resipi dia mampu beraksi lebih baik kerana penjaga gol berpengalaman itu meningkatkan saingan bagi merebut tempat.

''Saya akui saingan rakan sepasukan mungkin secara kebetulan membuatkan saya lebih berkerja keras," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...