Sumber: Utusan Online
KOTA BHARU - Penyerang import dari Australia,
Dimitrios Petratos yang kini beraksi bersama The Red Warriors untuk
saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertekad mahu merebut
tempat selaku penggempur utama pasukan dalam saingan Liga Malaysia,
sebaik sahaja pintu pendaftaran pemain dibuka, bulan depan.
Petratos mengakui, kesempatan beraksi dalam saingan AFC akan
digunakan sebaik mungkin bagi memikat hati pengendali Kelantan, Bojan
Hodak untuk menyenaraikan namanya seterusnya membolehkan dia beraksi
dalam saingan Liga M.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada peminat setia Kelantan atas
sokongan yang mahu melihatnya kembali beraksi bersama pasukan dalam
saingan liga domestik.
"Ramai peminat mahu melihat saya kembali beraksi bersama pasukan
dalam saingan Liga M. Ini merupakan sebahagian dari impian saya untuk
beraksi bersama pasukan," katanya.
Bagaimanapun, bekas penyerang Sydney FC itu perlu menampilkan aksi
meyakinkan dalam usaha untuk mendapatkan kepercayaan Hodak bagi
membolehkan dia kembali ke saingan Liga M.
Dia sebelum ini diketepikan dari saingan Liga Malaysia selepas bekas
penyerang antarabangsa Guinea, Keita Mandjou berjaya memikat hati Hodak.
Impian untuk dia kembali mengetuai jentera serangan Kelantan bertambah cerah apabila pengurusan The Red Warriors dikhabarkan mahu membawa masuk penggempur baharu pada sesi pendaftaran pemain bagi menggantikan pemain sedia ada iaitu Mandjou.
Begitupun, Petratos terpaksa bersaing dengan rakannya, Dickson
Nwakaeme untuk posisi tersebut, sementara seorang lagi pemain pemain
import Obinna Nwaneri dilihat berada dalam keadaan selamat selepas
mempamer aksi bertenaga di bahagian pertahanan.
Penggempur berusia 20 tahun itu baharu sahaja pulang ke Malaysia
selepas menjalani latihan dengan sebuah kelab England, Blackburn Rovers
bersama kapten skuad Piala Presiden, Faizul Nazlin Sayuti selama tiga
minggu.
No comments:
Post a Comment