Sunday, March 10, 2013

Selangor tak sangka dapat 'berpesta gol'

Sumber: Sinar Harian

Irfan Bakti b. Abu Salim 
 
JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak menjangka anak buahnya mampu menundukkan Johor Darul Takzim ( JDT) dengan kemenangan besar 4-1 dalam saingan Liga Super, malam tadi.
Menurut Irfan Bakti, setelah lama ketandusan gol, anak buahnya kembali bangkit untuk menunjukkan taring dan mempamerkan persembahan yang cemerlang.

"Saya tidak menjangka kita dapat mencatat kemenangan besar seperti malam ini. Sebelun turun, saya hanya fikir kita akan menang dengan jaringan satu atau dua gol sahaja," kata Irfan ketika ditemui selepas tamatnya perlawanan.

Tambah Irfan, "tapi, setelah melihat corak permainan pemain, ia jelas satu persembahan yang baik, kita dapat kuasai permainan dan berjaya mengurangkan kesilapan."

"Saya juga sangat berpuas hati kerana setelah tiga perlawanan sebelum ini kita gagal menjaringkan sebarang gol, malam ini pemain kembali membuktikan Selangor tetap digeruni," ujarnya.

Semalam, Selangor berjaya mengaibkan JDT 4-1 di halaman sendiri sekali gus merampas tangga kedua liga daripada pasukan berstatus bintang itu.

Dalam pada itu, Irfan turut memuji barisan pemainnya yang berjaya mengawal bola dengan baik serta mampu memberi tekanan ke atas pihak lawan.

"Strategi untuk menekan pasukan lawan berjaya dilakukan. Pemain nyata cemerlang dan mengikuti segala arahan yang telah diaturkan," katanya yang bangga dengan semangat pemain Selangor.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...