Sumber: Metro Online
Pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akhirnya menerima padah susulan
keadaan tegang dan pergaduhan yang turut membabitkan pemain Selangor
pada pusingan pertama Piala FA, Januari lalu.
ATM difahamkan mendapat berita mengenai penggantungan terbabit
kelmarin dengan pemain pertahanan Mohd Fitri Omar digantung empat
perlawanan dan denda RM1,000 manakala G Jeevanthan dan R Surendran
masing-masing digantung tiga perlawanan berserta denda RM1,000 dan
RM1,500.
Mohd Shukor Adan yang difahamkan tidak mengaku salah turut digantung dua perlawanan selain denda RM1,500 dengan kapten pasukan Hairuddin Omar diberikan amaran keras.
Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud ketika dihubungi
berkata, hukuman terbabit berkisar kepada keadaan dan insiden yang
berlaku dalam tempoh 120 minit perlawanan yang berlangsung di Stadium
Shah Alam.
“Hukuman dijatuhkan membabitkan tempoh perlawanan. Kami belum menilai insiden pergaduhan yang berlaku di bangku simpanan selepas perlawanan,” katanya.
FAM dijangka memanjangkan insiden terbabit dengan memanggil pegawai tertinggi setiap pasukan pada minggu depan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai apa yang sebenarnya terjadi sekali gus memungkinkan terdapat pemain lain yang turut didakwa.
Suasana tegang perlawanan terbabit berlaku selepas pengadil
perlawanan Amirul Izwan Yaccob yang melayangkan kad merah kepada Abdul
Shukur Jusoh pada akhir perlawanan dan pemain tengah Selangor itu cuba
mendapatkan penjelasan sebelum meninggalkan padang sekali gus
mencetuskan suasana kurang senang pemain ATM tapi tidak sampai seminit,
Amirul Izwan menarik balik keputusannya.
Ia bagaimanapun tidak berakhir di situ apabila penyerang Selangor, Afiq Azmi yang menjaringkan dua gol didakwa melakukan provokasi di bangku simpanan pemain ATM sekali gus mencetuskan pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan selepas Merah Kuning berjaya mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.
No comments:
Post a Comment