Saturday, March 16, 2013

'Ranking turun perkara biasa'

Sumber: Utusan Online
 
PETALING JAYA - Penurunan ranking dunia lima anak tangga kelmarin tidak mencetus rasa gelisah buat pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Bukan tidak mengambil peduli, tetapi beliau menganggap itu satu perkara biasa jika pasukan kebangsaan tidak mendapat perlawanan persahabatan kelas A.
‘‘Ranking akan turun dan naik. Kenapa turun, kenapa naik, saya sudah beritahu bahawa kalau kita tidak bermain dengan pasukan-pasukan kebangsaan, ranking akan turun.

‘‘Setiap perlawanan adalah penting dan bukan perlawanan dengan Yemen sahaja.
“Selepas ini, apabila kita bermain kita nak beri yang terbaik dalam semua perlawanan, " katanya ketika ditemui di Wisma FAM ,semalam.


Pada ranking Februari yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin, Malaysia menduduki tangga ke-164. 

Hanya satu perlawanan dilalui anak-anak buah Rajagobal yang diambil kira iaitu ketika tewas 0-2 kepada Qatar pada aksi sulung kelayakan Piala Asia 2015.

Sementara aksi persahabatan menentang Iraq 1 Februari lalu yang menyaksikan Malaysia kalah 0-2, tidak dianggap pertemuan kelas A kerana kedua-dua pasukan menurunkan lebih daripada enam pemain gantian dalam perlawanan berkenaan.

Bagi kedudukan Asia Tenggara, Malaysia muncul negara keenam terbaik apabila dipintas Myanmar yang melonjak ke tangga ke-155. 

Tambah membimbangkan, beberapa negara kerdil dalam bola sepak seperti Bangladesh, Maldives dan Afghanistan mampu mempunyai kedudukan yang lebih baik berbanding Malaysia.

Mengenai persiapan berdepan Arab Saudi, Rajagobal berkata, Wan Zack Haikal Wan Noor hampir pasti tidak dapat diturunkan kerana belum pulih daripada kecederaan, sementara Amiridzwan Taj Tajuddin masih bergelut mengembalikan kembali kecergasan.

Cuma yang memberi sedikit kelegaan kepada dirinya adalah kepulangan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak yang menjalani latihan pertama semalam, sekali gus mengurangkan masalah kekurangan pilihan di bahagian pertahanan.

Rajagobal juga tidak mahu terlalu memaksa pemain Kelantan dan Selangor yang baru menjalani latihan pada hari kedua.

‘‘Aidil memulakan latihan hari ini, dia masih mengadu rasa sakit dan kita akan terus melihat perkembangannya sebelum membuat keputusan diturunkan atau tidak.

‘‘Kecederaan boleh berlaku bila-bila masa. Bukan hanya kerana jadual padat tetapi pemain pun kena pandai jaga diri.

‘‘Dalam masa satu hari saja kamu tidak boleh buat kesimpulan dan kita kena faham bahawa pemain juga nampak kepenatan.

“Kerana itu saya tidak mahu terlalu memaksa Badhri (Radzi) dengan Shakir (Shaari) kerana baru bertandang dari Myanmar dan pemain-pemain Selangor yang main di Piala AFC, " katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...