Saturday, March 9, 2013

Sime Darby kekal penguasaan

Sumber: Utusan Online
 
KUALA LUMPUR - Sarawak gagal mengambil kesempatan untuk memintas kedudukan Sime Darby di persada Liga Perdana apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah di Stadium Negeri, Sarawak semalam.

Pada perlawanan sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Pos Malaysia 1-1 hasil jaringan penalti Karlo Primorac pada minit ke-60, sementara gol tuan rumah dicipta Muhd. Azreen Zulkafali, minit ke-32.


Kedah pula cemerlang membenam Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman dengan keputusan 3-0 melalui jaringan Mohd. Faizal Abu Bakar pada minit ke-63 disusuli penyerang veteran, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, minit ke-90 sebelum Mohd. Shazuan Ashraf Mathews menambah sengsara skuad warga kota hasil jaringan di masa kecederaan.

Sementara itu Johor bangkit daripada kekalahan kedua berturut-turut apabila kembali ke landasan kemenangan dengan membenam Perlis, 6-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Skuad bimbingan Azmi Mohamed itu memperoleh gol pembukaan pada minit ke-7 menerusi Mohd. Farid Ideris yang merembat masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh Hadi Syahmi Hamzah sebelum Andre Francisco De Silva meletakkan tuan rumah selesa di hadapan 2-0 pada minit ke-14.

Bersambung aksi separuh masa kedua, pesta gol Johor berterusan apabila Mohd. Alif Mohd. Yusof meledak gol ketiga Johor pada minit ke-49 diikuti Juan Muriel Orlando pada minit ke-57 melalui sepakan penalti dan .

Derita Perlis tidak berpenghujung apabila sekali Farid Ideris menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-61 dan ketua pasukan, Mohd. Farid Ramli memberikan jaringan keenam, dua minit kemudian manakala pelawat memperoleh gol saguhati sumbangan Romdhizat Jamian pada minit ke-70.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA Putrajaya) pula berjaya mengikat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-3 dalam aksi Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Hang Jebat di sini semalam.

SPA Putrajaya mendahului dua kali melalui jaringan yang disumbangkan oleh Muhammad Asyidi Dil Ashar Yusof minit ke-40 dan Raja Mohd. Hafillah Raja Mamat, minit ke-45 sebelum disamakan Muhd. Khairul Akhyar Husarin(minit ke-42) dan Wan Zaman Wan Mustafar (minit ke-59).

Khairul Akhyar hampir memberikan kemenangan kepada PDRM melalui jaringan pada minit ke-68 tetapi A. Puvanarajah menyelamatkan maruah SPA Putrajaya dengan gol pada masa kecederaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...