Sumber: Metro Online
Kelana Jaya: “Ini adalah peluang kepada dia (Mohd Badhri Radzi).”
Itu reaksi pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal berhubung
tindakannya menyenaraikan kapten dan perancang tengah Kelantan itu buat
kali pertama untuk menyertai kem latihan pusat bagi persediaan menentang
Yaman pada 22 Mac ini.
Rajagobal menjelaskan beliau akan memantau prestasi pemain terbabit ketika sesi latihan dan aksi persahabatan (menentang Arab Saudi) sebelum membuat sebarang keputusan.
“Apabila dilantik sebagai jurulatih saya memberi peluang kepada semua
pemain. Sekarang masanya untuk dia (Badhri). Bagi saya semua pemain
dalam pasukan penting, bukan satu atau dua pemain saja. Itu cara saya
selama ini,” kata jurulatih berusia 56 tahun itu yang mula dilantik
mengendalikan skuad kebangsaan sejak 2009.
Bagaimanapun kelibat Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya belum dapat disaksikan apabila bersama Kelantan untuk beraksi dalam saingan Piala AFC termasuk beberapa pemain Selangor dengan hanya 18 pemain melaporkan diri di Wisma FAM semalam selain tiga pemain pertahanan turut mengalami kecederaan iaitu Amir Ridzwan Taj Tajudin, K Reuben dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.
Rajagobal berkata, aksi persahabatan menentang Arab Saudi, 17 Mac ini akan digunakannya bagi merangka strategi dan menentukan kombinasi pemain tertentu sebelum turun dalam misi penting menentang Yaman di Stadium Shah Alam.
“Persiapan ini sama ketika skuad negara menentang Iraq sebelum
bertandang ke Qatar. Kita akan mendapat gambaran pemain untuk diturunkan
pada perlawanan sebenar. Perlawanan menentang Arab Saudi memberikan
tahap permainan yang tinggi, saya akan manfaatkannya dan tidak
menyisihkan pemain Kelantan dan Selangor walaupun mereka baru saja
bersaing dalam Piala AFC,” katanya.
Sementara itu kapten pasukan, Mohd Safiq Rahim yang dikritik hebat sesetengah pihak akibat prestasi tidak konsisten menyedari dia perlu meningkatkan prestasinya.
“Saya mempunyai misi mengembalikan prestasi sebelum ini. Saya rasa
mampu mempamerkan prestasi lebih baik dan akan cari kelemahan itu untuk
memperbaikinya,” kata pemain Johor Darul Takzim itu.
Dia yang terlepas aksi menentang Qatar (skuad negara tewas 2-0) kerana penggantungan berkata, tumpuannya adalah mendapatkan kembali posisinya dalam skuad kebangsaan.
Posisi pemain terbabit kini berdepan saingan sengit terutamanya dengan kehadiran Badhri dan perancang tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh yang turut tersenarai kali ini.
No comments:
Post a Comment