Sumber: Metro Online
Shah Alam: Persembahan cemerlang Selangor dalam kancah saingan
domestik gagal diterjemahkan dalam saingan Piala AFC apabila diikat
gergasi Singapura, Tampines Rovers 3-3 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Manakala Kelantan beraksi cemerlang di Yangon untuk menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady United 3-1.
Selangor yang bersaing dalam Kumpulan H terpaksa gigit jari walaupun membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi penyerang import Francis Forkey Doe (minit-53).
Dia bijak memanfaatkan hantaran jauh kapten pasukan Mohd Asraruddin
Putra Omar dengan melepasi barisan pertahanan sebelum melepaskan
rembatan menggegar gawang lawan.
Tampines jelas mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit menyamakan kedudukan walaupun tiga kali ketinggalan kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang memburu kemenangan pertama dalam kancah Piala AFC musim ini.
Jaringan Mohd Amri Yahyah dan penalti Forkey Doe pada babak kedua turut gagal dipertahankan Selangor yang kelihatan rapuh di barisan pertahanan yang dikemudi Peter Chrappan dan Mohd Nasriq Baharom sehingga membenarkan lawan yang diketuai penyerang veteran berusia 43 tahun, Aleksandar Duric kerap kali mengancam kubu yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Dua lagi jaringan pelawat disumbangkan Imran Sahib dua minit
selepas Amri menjaringkan gol kedua Selangor manakala tandukan pemain
import dari Jepun, Yamashita Kunihiro m-72 memastikan kedua-dua pasukan
berpuas hati mengutip satu mata.
Keputusan itu menyebabkan Selangor terus menghuni tangga terbawah dengan satu mata, terikat dengan Tampines Rovers yang berada di kedudukan ketiga selepas mempunyai kelebihan jaringan ketika kelab Vietnam, Saigon Xuan Thanh dan East Bengal dari India mengumpul empat mata.
Sementara itu juara tiga piala liga domestik musim lalu, Kelantan
beraksi cemerlang dalam saingan Kumpulan G di Youth Training Centre,
Yangon.
Kelantan dibayangi persembahan kurang konsisten dalam kancah Liga Super musim ini membuka jaringan menerusi kapten Mohd Badhri Radzi seawal minit kedua perlawanan bagi memastikan skuad kendalian Bojan Hodak itu selesa mendahului sehingga tamat separuh masa pertama.
Pemain pinjaman berusia 21 dari Australia, Dimitri Petratos akhirnya menemui sentuhan penyudah bersama The Red Warriors apabila meledak dua gol m-59 dan 80 bagi membolehkan Kelantan kini mengumpul empat mata menerusi dua perlawanan.
No comments:
Post a Comment