Sumber: BERNAMA
Kuala Lumpur: Artikel 88 statut perlembagaan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) kembali menjadi perbualan hangat selepas Presiden
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi
‘mangsa terbaru’ hukuman keras FAM.
Pelbagai pihak menyuarakan rasa kurang senang dengan hukuman dua
tahun enam bulan serta denda RM39,000 yang dikenakan terhadap bekas
Menteri Besar Perlis itu kerana membuat kritikan secara terbuka.
Mereka mendesak supaya artikel itu dipinda dan dikaji semula kerana menganggap peraturan itu menghalang anggota gabungan FAM bersuara secara bebas demi pembangunan bola sepak negara.
Dalam kalangan yang bernaung di bawah FAM pula, tidak ramai berani
menzahirkan secara terbuka rasa tidak puas hati mereka terhadap artikel
itu dan segelintir yang berbuat demikian pula berdepan hukuman berat
FAM.
Antara yang pernah menjadi ‘mangsa’ ialah Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), yang digantung dua tahun setengah pada tahun lalu kerana kesalahan mengkritik skuad negara.
Sebelum ini, dua bekas naib presiden FAM iaitu Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil turut dihukum FAM di bawah peraturan sama. Terkini, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal berdepan hukuman berat apabila mengkritik mutu pengadilan bola sepak negara yang disifatkan masih lemah dan bertaraf amatur.
Namun, Jawatankuasa Tatatertib FAM belum memutuskan hukuman terhadap
beliau kerana mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Taufik
Abdul Razak pada Selasa lalu memberi alasan belum cukup bukti.
Apakah Artikel 88 yang menyebabkan anggota gabungan FAM ‘gerun’? Berdasarkan artikel itu hanya presiden dan setiausaha agung dibenarkan membuat kenyataan membabitkan skuad kebangsaan dan pengurusan FAM.
Jika ada yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka
perlu meminta kebenaran kongres badan induk itu terlebih dulu.
Menyedari kesan yang bakal diterima jika mengkritik badan induk sukan itu, rata-rata anggota gabungan FAM memilih berdiam diri atau meminta tidak didedahkan identiti apabila diminta memberi komen terhadap isu Artikel 88.
Menurut seorang pemimpin persatuan bola sepak negeri, apa yang dilakukan FAM hanya mengundang kemarahan anggota gabungan serta peminat bola sepak negara kerana orang ramai sudah mula membenci FAM. “Artikel 88 menjadikan FAM ‘kebal’ dan bebas melakukan apa saja, kita ahli gabungan tidak boleh menegur atau meluahkan rasa tidak puas hati kerana takut berdepan hukuman FAM.
“Jika kita lebih-lebih, pasti tidak akan terlepas daripada hukuman dan ini menjejaskan usaha pembangunan bola sepak kami. “Kerana sayang dan bimbang sukan bola sepak di peringkat akar umbi terjejas, kami terpaksa berdiam dan hanya bercakap sesama sendiri,” katanya yang enggan didedahkan identiti.
Seorang lagi pemimpin persatuan bola sepak yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam sukan itu berkata, FAM perlu mengkaji semula Artikel 88 bagi memberi ruang anggota gabungan menyuarakan pandangan membangun dan memajukan bola sepak negara.
Sehingga kini hanya beberapa ‘orang luar’ (bukan anggota gabungan FAM) yang berani secara terbuka mengkritik FAM.
Terbaru, media melaporkan bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir Ismail meminta FAM mengkaji semula Artikel 88.
Sebelum ini, pengkritik sukan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim turut menegaskan, tindakan FAM menguatkuasa peraturan melarang anggota gabungan menegur atau mengkritik badan induk itu boleh mengakibatkan mereka kehilangan ramai ‘kawan’ yang jujur membangunkan bola sepak negara.
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pernah meminta anggota gabungan badan induk itu tampil dan kemukakan cadangan jika mahu Artikel 88 FAM dikaji semula.
Persoalannya, apakah anggota gabungan FAM berani mengusulkan cadangan itu pada kongres tahunan persatuan atau lebih rela mengunci mulut kerana ‘takutkan’ Artikel 88, biarpun niat mereka ikhlas mahu memperbaiki mutu bola sepak negara atas dasar cinta. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment