Sumber: Metro Online
Seremban: Prestasi hambar skuad Negeri Sembilan dalam saingan Liga
Super mencetuskan rasa tidak puas segelintir penyokong pasukan itu
apabila mereka mengadakan tindakan protes di luar Stadium Tuanku Abdul
Rahman Paroi, sebaik tamat perlawanan menentang FELDA United yang
berkesudahan Negeri Sembilan tewas 0-1, malam kelmarin.
Kira-kira 15 orang penyokong tegar pasukan mengadakan protes secara
aman dengan meminta jurulatih Divaldo Alves meletakkan jawatan serta
merta.
Bagaimanapun tindakan mereka itu tidak menimbulkan kekacauan kerana pasukan keselamatan turut berada di lokasi dan mengawal keadaan sehingga mereka bersurai pada kira-kira jam 12.15 pagi semalam.
Jurucakap kumpulan Abdul Borhanuddin Ahmad, 34, berkata mereka tidak
dapat menerima prestasi buruk skuad berkenaan sepanjang saingan liga
setakat ini apabila gagal meraih kemenangan selepas melalui 10
perlawanan hingga meletakkan pasukan itu kekal di kedudukan tercorot.
Katanya, ini adalah pencapaian terburuk skuad Hoben Jang Hoben dalam tempoh 15 tahun dan walaupun saingan liga masih berjalan jelas agak sukar untuk bangkit memberikan saingan.
“Alves bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi hambar pasukan kerana ini adalah pencapaian terburuk dalam tempoh 15 tahun. Kami menggesa Alves meletakkan jawatan bagi memberi laluan pengurusan pasukan memilih jurulatih lain pula.
“Kami mahu pengurusan pasukan bertindak cepat melakukan perubahan
ketika saingan liga sedang berlangsung bagi mengembalikan semula
reputasi pasukan yang tercalar dan dapat membentuk kembali kekuatan
pasukan untuk terus bersaing serta kekal dalam kelompok Liga Super,
musim depan,” katanya.
Dalam aksi malam kelmarin, Razali Umar Kandasamy muncul wira FELDA United apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-40, untuk membolehkan skuad bimbingan K Devan itu ceria meraih tiga mata.
No comments:
Post a Comment