Sumber: Utusan Online
SHAH ALAM - Biarpun beraksi di posisi pertahanan, namun Mahalli
Jasuli mencuri tumpuan pada perlawanan menentang Yemen kelmarin kerana
kerap mengkucar-kacirkan benteng lawan ketika membantu Malaysia merakam
kemenangan 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 Stadium Shah Alam.
Malah, bek kanan Selangor itu turut mendapat pujian pengendali Yemen,
Tom Saintfiet apabila sering melakukan gerakan berbahaya dari sebelah
kanan bersama Wan Zack Haikal Wan Noor.
Mahalli, 23, mengakui dia dan rakan-rakan agak tertekan selepas
membenarkan lawan mendahului menerusi Aiman Saleh Abd. Al-Hagri seawal
minit ke-12, namun sebaik sahaja Azamuddin Akil menyamakan kedudukan
pada minit ke-27, Harimau Malaya kembali menemui rentak.
"Walaupun berada dalam keadaan tertekan kami cuba mengatur langkah
sebaik mungkin untuk mencari gol penyamaan dan hasilnya kami berjaya
membolosi benteng pertahanan Yemen menerusi Azamuddin.
"Banyak peluang yang disia-siakan tetapi kami tidak salahkan bahagian
penyerang kerana mereka telah bekerja keras untuk mencari mata buat
pasukan," kata Mahalli ketika ditemui selepas perlawanan.
Mahalli menjadi perancang utama gol pembukaan Malaysia apabila
melakukan hantaran leret ke dalam kotak penalti yang yang disempurnakan
Azamuddin.
"Kemenangan ini membakar semangat kami untuk terus bangkit setelah
dikritik kerana prestasi kurang mantap dalam dua perlawanan sebelum
ini," jelasnya lagi Khyril Muhymeen muncul wira dan memberi kelegaan buat skuad bimbingan
Datuk K. Rajagobal apabila menghadiahkan gol kemenangan hanya 10 minit
sebelum tamat permainan.
No comments:
Post a Comment