Tuesday, March 12, 2013

‘Owona parasit’

Sumber: Metro online
 
Kuala Terengganu: Di sebalik kejayaan Terengganu mencatat empat kemenangan berturut-turut termasuk saingan Piala FA, timbul perasaan kurang senang penyokong mengenai prestasi tidak konsisten penyerang import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona yang boleh dianggap ‘parasit’ dalam kesebelasan utama skuad Penyu.

Malah, pemain yang mencetuskan kontroversi di awal musim antara Terengganu dan Negeri Sembilan berhubung isu perpindahan itu juga dilihat kurang menyengat.

Ketika berdepan T-Team Jumaat lalu, tidak kurang tiga peluang keemasan gagal disempurnakan pemain berusia 29 tahun itu.


Corak permainan tidak konsisten itu jelas mengecewakan kira-kira 10,000 penonton yang hadir untuk menyaksikan penyerang meledak jaringan seperti aksinya ketika menyarung jersi Rusa musim lalu.

Sementara itu Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata, prestasi Owona akan dipantau bagi memastikan dia terus menjadi senjata pemusnah pasukan.

“Setakat ini saya belum mendapat laporan bertulis berhubung prestasinya tapi Owona dan pemain lain perlu meningkatkan prestasi.

“Saya turut mengingatkan jurulatih perlu mengambil perhatian serius terhadap pemain yang gagal meningkatkan prestasi sebelum amaran dikeluarkan PBSNT,” katanya.

Seorang peminat dari Gong Badak, Amaliza Ismail berkata, dia mengharapkan PBSNT melakukan sesuatu ke atas pemain itu supaya pasukan tidak ketandusan jaringan kerana saingan liga masih panjang selain skuad Penyu berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA bertemu Negeri Sembilan.

“Saya hairan kenapa pemain itu musim ini tidak berbisa, musim lalu ketika mewakili Negeri Sembilan, dia muncul pemenang kasut emas bersama penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe dengan 14 gol tapi kini baru empat jaringan dihasilkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...