Tuesday, March 12, 2013

Johor DT sedia buat perubahan

Sumber: Metro Online
 
Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) bakal berwajah baru pada pusingan kedua saingan Liga Super apabila mendapat khidmat empat pemain Johor yang beraksi dalam kancah Liga Perdana dan semua urusan perpindahan itu diselesaikan April ini mengikut peraturan ditetapkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).
  


Difahamkan empat pemain itu adalah, kapten Mohd Farid Ramli, Muhammad Nazri Ahmad, Jasazrin Jamaludin dan pemain import, Andre Francisco Da Silva dan mereka akan memulakan latihan pertama skuad Harimau Selatan, Khamis ini.

Pemain Johor DT yang akan mewarnai cabaran Johor pada saingan Liga Perdana pula adalah Mohd Ezaidy Khadar, K Sathiya, Azmi Muslim dan kemungkinan Simone Del Nero namun semua keputusan itu hanya akan diputuskan pengurusan Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ).

Syarat ditetapkan FAM berhubung perpindahan pemain berkuatkuasa April ini membabitkan tiga pemain tempatan dan seorang pemain import dan jika diluluskan sudah pasti Johor DT di bawah kendalian Fandi Ahmad bakal merebut peluang itu. Apapun status Del Nero sama ada sanggup diturunkan pangkat beraksi dalam saingan Liga Perdana menjadi tanda tanya namun pengurusan PBNJ harus bijak menyelesaikan isu itu ketika mereka tidak memiliki pemain tengah berkualiti.

Malah bekas pemain Lazio itu masih belum mampu menonjolkan diri sebagai pemain yang memiliki sentuhan tepat.

Kehadiran Andre Francisco di posisi tengah bakal merungkai masalah pasukan ketika pemain dari Brazil itu memiliki karektor menarik sebagai perancang utama dan mampu bertindak selaku ‘jeneral padang’ selepas Safiq Rahim masih terkial-kial menguasai posisi itu sepanjang 10 perlawanan lalu.

Kelibat Mohd Farid dan Muhammad Nazri menguatkan posisi bek kiri dan kanan bagi menggantikan Azmi dan Irfan Abd Ghani yang belum menunjukkan permainan konsisten dan sering gagal menyekat larian pantas pemain lawan hingga mudah ditewaskan manakala Jasazrin mengukuhkan jentera tengah bagi mengambil alih tugas Ahmad Ezrie Shafize.

Andai rombakan pemain menjadi kenyataan dengan kehadiran muka baru itu, ia pasti memberi nafas baru buat barisan Fandi menjelang perlawanan berdepan Terengganu di laman sendiri, 30 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...