Tuesday, November 12, 2013

Shakir warnai cabaran Kelantan

Sumber: Harian Metro
 
Seremban: Selepas dua musim bersama Negeri Sembilan, penyerang Ahmad Shakir Md Ali membuat keputusan untuk berubah angin dengan menyertai naib juara Piala Malaysia 2013, Kelantan bagi saingan Liga M musim depan.

Pemain kelahiran Kedah yang akan menjangkau usia 25 tahun pada 9 Januari ini berkata, dia memilih menyertai The Red Warriors (TRW) bagi meningkatkan pengalaman sebagai pemain profesional dan bukan semata-mata kerana tawaran gaji lebih tinggi. 



“Keputusan ini tiada kaitan dengan tawaran gaji tinggi biarpun ada sedikit peningkatan tawaran diterima berbanding ketika bersama Negeri Sembilan. Saya hanya mahu melebarkan pengalaman dan karier saya sahaja.
“Begitupun banyak pengalaman yang saya peroleh selama dua musim bersama Negeri Sembilan di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah dikuti pengendali dari Portugal, Divaldo Alves dan seterusnya jurulatih sementara, Ridzuan Abu Shah.

“Tidak mungkin saya berada pada tahap sekarang tanpa bimbingan dan sokongan mereka,” katanya.

Ahmad Shakir pernah dinobat penjaring terbanyak Liga Super dengan 10 gol pada musim 2012 namun bagi musim 2013, dia kerap berada dalam barisan pemain simpanan berikutan kurang cergas susulan kecederaan pangkal paha yang dialami.

Malah dia juga gagal membantu skuad Hoben Jang Hoben apabila berada di tangga tercorot Liga Super sekali gus tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu melahirkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan pengurusan pasukan kerana memberinya peluang beraksi bersama skuad itu biarpun pada tahun ini gagal membantu meraih prestasi terbaik.

Ahmad Shakir yang menandatangani kontrak dua tahun bersama TRW akan melaporkan diri 1 Disember ini dan melahirkan keazaman memberikan sumbangan terbaik kepada Kelantan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...