Tuesday, November 5, 2013

Hogoh Pahang hogoh

Sumber: Harian Metro
Kuantan: Biarpun tiada sambutan besar-besaran diadakan, skuad Pahang yang muncul juara Piala Malaysia musim ini tetap diraikan dalam kalangan peminat sepanjang perjalanan pulang dari Shah Alam ke Kuantan, semalam.
Selepas meraikan kejayaan bersama penyokong di Bentong, skuad kendalian Dollah Salleh itu disambut pula peminat setia di Temerloh sebelum berakhir di Kuantan.
Ternyata, penantian 21 tahun rakyat Pahang untuk merampas piala berprestij itu sejak kali terakhir dimenangi pada 1992 mendapat sambutan meriah.



Difahamkan, sepatutnya skuad Pahang diraikan secara besar-besaran tetapi ditangguhkan kerana kerajaan negeri Pahang dikatakan bercadang berbuat demikian.
Bagaimanapun, tarikhnya belum lagi diputuskan tetapi kerajaan negeri tetap berbangga dengan pencapaian dipersembahkan pemain.

Pada aksi final kelmarin, Pahang meleburkan impian Kelantan untuk muncul juara apabila mencatat kemenangan 1-0.

Sementara itu keputusan untuk mengarak Piala Malaysia dalam siri jelajah ke seluruh Pahang akan dibuat Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selepas mendapat tarikh dan kaedah yang sesuai.
Pengurus skuad Tok Gajah Datuk Che Nasir Salleh berkata, perkara berhubung tempat, kaedah yang akan digunakan dan tarikh itu akan dibincangkan selepas mendapat perkenan Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah terlebih dahulu.
“Seperti mana yang dikehendaki oleh Tengku Muda (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah), trofi Piala Malaysia ini akan diarak ke setiap daerah di seluruh negeri Pahang,” katanya.
Namun katanya, keputusan itu masih belum dibuat memandangkan perlawanan akhir saingan Piala Malaysia baru tamat kelmarin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...